KUBANG PASU: Akhirnya penduduk di sekitar Kampung Kemboja di sini dapat menghela nafas lega apabila laluan di Sungai Korok yang sering menyaksikan berlaku kemalangan maut, kini ditambah baik untuk faktor keselamatan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, jalan tersebut kini dilengkapi penghadang keselamatan di beberapa lokasi termasuk tempat kemalangan tragis tersebut serta 35 tiang lampu solar dan pemantul jalan.
Seorang penduduk, Hashim Arob, 69, berkata, mereka ternanti-nantikan penambahbaikan jalan tersebut sejak sekian lama ekoran jalan berkenaan yang sering meragut nyawa pengguna jalan raya di kawasan itu.
“Saya tinggal di sini sejak lahir dan jalan ini memang selalu berlaku kemalangan sebab menjadi jalan pintas dari Jerlun malah Perlis untuk ke Jitra dan Alor Setar. Paling tragis kemalangan enam beranak itu dan pihak terlibat melihat keperluan untuk tambah ciri-ciri keselamatan.
“Penghadang jalan pun sudah siap dipasang sejak beberapa hari lepas dan lampu jalan pun sudah ada jadi kami rasa selamat,” katanya ditemui di sini, semalam.
Mohd. Anas Mohd. Fazli, 30, memberitahu, dia yang menggunakan laluan tersebut setiap hari untuk ke tempat kerja di Jitra kini merasa lebih selesa kerana sudah mempunyai lampu jalan.
“Saya balik kerja tengah malam dan jalan di sini memang gelap tetapi sekarang sudah ada lampu rasa lebih selamat bila memandu,” katanya.
Asme Majid, 73, pula berkata, aspek keselamatan itu penting terutama laluan berkenaan sering menjadi tumpuan ketika musim perayaan.
“Kalau musim perayaan memang banyak kereta dan jadi risau kadang-kadang, apabila penghadang jalan ini sudah dipasang rasa selamat sikit untuk semua,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air serta Alam Sekitar negeri, Datuk Mohamad Yusoff Zakaria berkata, kerja-kerja penambahbaikan aspek keselamatan di laluan Sungai Korok kini giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya 20 November ini.
Beliau berkata, pemasangan 35 tiang lampu jalan menggunakan tenaga solar siap sepenuhnya bagi meningkatkan pencahayaan jalan pada waktu malam.
“Selain itu, beberapa elemen keselamatan lain turut siap dipasang mengikut jadual seperti pemantul jalan, penghadang keselamatan di laluan di K2 melibatkan panjang 892 meter yang siap sepenuhnya, manakala kerja di K4 bermula pada 13 November melibatkan 772 meter,” katanya. – UTUSAN










