KUBANG PASU: Penduduk di kawasan Sungai Korok, di sini meminta kerajaan mewujudkan semula ban tanah di sepanjang laluan itu yang dibuang beberapa tahun lalu bagi mengelak risiko kenderaan terbabas ke dalam sungai.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Alor Biak, Sungai Korok, Abdul Halim Salleh berkata, beliau tidak mengetahui secara tepat mengapa ban setinggi 1.2 meter yang berupaya menambah ciri keselamatan di sungai berkenaan dibuang sebelum ini.
“Sebelum ini memang ada tembok tanah sepanjang Sungai Korok ini, tapi beberapa tahun lalu ia dibuang hingga menjadikan jalan raya kembali sama paras dengan tebing sungai.
“Pada pandangan kami, lebih baik tambun semula tanah macam lama yang sekurang-kurangnya setinggi satu meter kerana ia juga mampu berfungsi sebagai penghalang air sungai melimpah ketika musim banjir,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Abdul Halim berkata, kecekapan sistem itu boleh dipertingkatkan sekiranya ban tanah sebelum ini menyukarkan pengaliran air dari permukaan jalan ke sungai.
“Mungkin sebelum ini sukar untuk dialirkan air yang bertakung ke Sungai Korok bila ada ban tanah tapi saya rasa dengan kecanggihan teknologi ketika ini kita boleh bina semula dengan meningkatkan kecekapan fungsinya,” katanya.
Abdul Halim yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kubang Sepat berkata, kos mewujudkan ban tanah juga lebih jimat jika mahu dilaksanakan segera berbanding pemasangan pagar penghadang di laluan sepanjang hampir 20 kilometer itu.
“Kami menyambut baik cadangan menanam pokok buluh madu di tebing sungai ini tetapi untuk jangka masa panjang kita khuatir akan menyukarkan kerja-kerja penyelenggaraan sungai oleh MADA,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan cadangan untuk memasang lampu jalan terutama di kawasan berisiko berlaku kemalangan memandangkan kebanyakan lokasi diakui gelap.
“Lagi pun kejadian menimpa enam beranak baru-baru ini bukan insiden pertama, sudah kerap kali berlaku terutama kemalangan biasa akibat faktor pencahayaan yang kurang,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Mahidin Hamid, 48, yang tinggal di Kampung Kubang Sepat berkata, pemasangan lampu jalan le-bih sesuai untuk diutamakan di sepanjang laluan itu berbanding memasang penghadang.
“Jalan di sini merupakan laluan utama penduduk dari Alor Setar untuk ke Perlis dan sebaliknya, kenderaan berat juga sering melalui laluan ini tetapi saya rasa faktor jalan tidak menjadi penyebab utama kemalangan sehingga terjunam ke dalam sungai.
“Saya rasa faktor pemandu sendiri turut memungkinkan kemalangan berlaku jadi pemasangan lampu jalan lebih sesuai bagi membantu penglihatan pengguna pada waktu malam dan Subuh,” katanya. – UTUSAN










