Tebing runtuh di Kulai akan dibaiki segera, elak kejadian berulang - Utusan Malaysia

Tebing runtuh di Kulai akan dibaiki segera, elak kejadian berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Sehingga RM2.5 juta peruntukan dana kecemasan akan disalur bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan segera susulan insiden kegagalan tebing di kawasan Perumahan Teratai, Indahpura, di sini, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, peruntukan itu dikemukakan melalui pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulai untuk pertimbangan dibawah Tabung Bencana Negeri Johor.

“Penilaian risiko perlu dibuat segera bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat serta pengguna jalan raya kekal terpelihara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keutamaan kami adalah keselamatan rakyat. Difahamkan kejadian tebing runtuh ini berlaku pada pukul 4.30 petang semalam,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian, di sini hari ini.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu, pihak bertanggungjawab telah diarah memuktamadkan reka bentuk kejuruteraan dan spesifikasi teknikal dalam tempoh dua minggu bagi memastikan penyelesaian diambil berkesan untuk jangka panjang.

“Penyelesaian menyeluruh perlu merangkumi penilaian geoteknik terperinci, keadaan tanah, geometri tebing, beban daripada laluan kenderaan berhampiran serta pengaruh aliran air terhadap kestabilan struktur tanah.

“Penentuan mekanisme kegagalan tebing akan menjadi asas penting untuk memilih kaedah pengukuhan yang paling tepat, sekali gus mengurangkan risiko kejadian berulang di kawasan kediaman terbabit.

“Untuk permulaan, kerja pemasangan cerucuk akan digerakkan segera di lokasi runtuhan tertakluk kepada pengesahan jurutera bertauliah dari aspek keselamatan tapak, reka bentuk dan kaedah pembinaan,” katanya.

Menurut beliau lagi, aspek teknikal lain seperti sistem saliran permukaan, kawalan resapan air serta perlindungan hakisan juga akan dititikberat bagi menjamin kestabilan tebing sepenuhnya selepas projek siap kelak.

“Pada masa sama, orang ramai dan penduduk sekitar dinasihatkan agar terus mematuhi arahan pihak berkuasa, jauhi kawasan runtuhan serta beri kerjasama kepada agensi terlibat sepanjang kerja-kerja pemulihan dijalankan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini