KULAI: Lapan premis perniagaan yang dikendalikan warga asing bertempat di Pangsapuri Desa Indah, Desa Idaman, Senai di sini diarah tutup serta merta oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), semalam.
Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dalam satu kenyataan memberitahu, kesemua premis berkenaan didapati beroperasi tanpa sebarang lesen sah selain melanggar pelbagai syarat ditetapkan PBT.
“MPKu telah menjalankan satu operasi bersepadu bertujuan mencegah, membanteras dan meningkatkan kawalan perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing.
“Lapan premis perniagaan yang dikendalikan warga asing diarah tutup serta merta dan satu premis disita kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan melanggar syarat-syarat lesen selaras dengan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKu) 2019,” jelas kenyataan itu.
Tambahnya, tujuh notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 70(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana mendirikan sesuatu bangunan/binaan tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT.
Sementara, PBT berkenaan turut memberi peringatan kepada pemilik premis dan pemegang lesen agar tidak menjalankan perniagaan tanpa lesen dan tidak menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah.
“Selain itu, pemilik lesen dilarang menyalahguna lesen bagi tujuan menyerah pemilikan lesen kepada orang lain terutamanya warga asing. Jika didapati bersalah pemilik lesen boleh dikenakan denda RM2,000 atau dipenjara satu tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.-UTUSAN











