Kerajaan pertimbang dedah laporan pemilikan saham Azam Baki - Utusan Malaysia

Kerajaan pertimbang dedah laporan pemilikan saham Azam Baki

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan mempertimbangkan sewajarnya permintaan supaya laporan penuh Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki didedahkan kepada umum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pertimbangan itu akan dibuat sekiranya terdapat keperluan dengan mengambil kira peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Katanya, perkara itu termasuk perlindungan maklumat peribadi, kerahsiaan dokumen siasatan dan rekod perisytiharan harta serta kepentingan pihak berkaitan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isu pemilikan dan perisytiharan harta termasuk pegangan saham bekas Pesuruhjaya SPRM itu telah diteliti oleh Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan pada 13 Februari 2026.

“Jawatankuasa tersebut telah menyelesaikan siasatannya secara bebas, telus dan profesional, dan hasil siasatan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai dapatan Jawatankuasa Khas berhubung dakwaan pemilikan saham Azam dan tindakan yang akan diambil terhadapnya serta kesediaan kerajaan mendedahkan laporan berkenaan.

Azalina berkata, sebarang perkembangan atau keputusan rasmi berkaitan perkara itu yang wajar dimaklumkan kepada umum akan diumumkan oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara.

Katanya, perkara itu adalah sebagaimana kenyataan media yang dikeluarkan pada 31 Mac 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini