RAMALLAH: Sebanyak 62,916 serangan terhadap rakyat Palestin, tanah dan harta benda mereka direkodkan di Tebing Barat yang diduduki termasuk Baitulmuqaddis Timur, sejak 7 Oktober 2023.
Tarikh 7 Oktober itu menandakan bermulanya Perang Gaza. Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan berkata, daripada jumlah itu, 48,174 serangan dilakukan tentera Israel, manakala 14,742 lagi oleh pendatang Yahudi.
Hebron merekodkan jumlah serangan tertinggi dengan 10,840 kes, diikuti Ramallah dan Al-Bireh sebanyak 10,594 kes serta Nablus dengan 10,261 kes.
Menurut laporan suruhanjaya itu, serangan pendatang Israel dalam tempoh berkenaan turut mengorbankan sekurang-kurangnya 66 rakyat Palestin.
Dalam tempoh sama, sebanyak 1,182 kejadian kebakaran yang menyasarkan tanah dan harta benda Palestin direkodkan, selain 147,111 pokok ditebang atau mengalami kerosakan.
Daripada jumlah itu, lebih 100,000 adalah pokok zaitun yang menjadi antara sumber penting pendapatan penduduk Palestin.
Suruhanjaya itu turut melaporkan cubaan pendatang Israel mewujudkan 211 penempatan baharu bagi aktiviti pengembalaan, manakala serangan dilaporkan berlaku di 376 kampung dan komuniti Palestin.
Pihak berkuasa Israel pula menjalankan 1,814 operasi merobohkan bangunan yang menjejaskan 5,059 struktur, termasuk 1,894 rumah yang didiami.
Kira-kira 6,420 hektar tanah milik rakyat Palestin dirampas melalui perintah ketenteraan dan pengisytiharan sebagai ‘tanah negara’, dengan suruhanjaya itu menyifatkan kadar rampasan berkenaan sebagai yang tertinggi dalam tempoh tiga dekad.
Laporan itu turut menyatakan 415 pelan penempatan haram Israel yang membabitkan puluhan ribu unit kediaman diluluskan atau dimajukan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.
Pihak berkuasa Israel turut mengeluarkan 97 tender bagi pembinaan 15,760 unit penempatan tambahan, termasuk di kawasan E1 di timur Baitulmuqaddis.
Menurut suruhanjaya itu, langkah berkenaan semakin disusuli undang-undang bertujuan mewujudkan pengilhakan secara de facto, selain menggesa tindakan antarabangsa diambil bagi menghentikan perluasan penempatan haram dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan. – AGENSI











