JAKARTA: Tentera Laut Indonesia sedang mengawal kapal kargo MV Global 88 di perairan berhampiran Balikpapan selepas memintas kapal itu di perairan Majene, Sulawesi Barat, susulan pertikaian undang-undang berhubung penghantaran rokok yang menuju ke Malaysia.
Komander Pangkalan Tentera Laut Balikpapan, Kolonel Rudhiro Pratomo berkata, kes itu masih dalam siasatan, sambil menegaskan bahawa pihak tentera laut hanya mengawal kapal berkenaan dan bukannya menahannya berhubung laporan polis yang dibuat di Jawa Timur.
“Kami membantu pihak polis,” katanya kepada pemberita di Makassar, Sulawesi Selatan.
Kapal Tentera Laut Republik Indonesia (KRI) KRIS memintas kapal itu di perairan Majene pada 19 Oktober sebelum mengiringinya ke pangkalan tentera laut di Balikpapan berikutan pertikaian undang-undang yang disyaki sedang dikendalikan polis Jawa Timur, katanya.
“Untuk menjelaskan keadaan, kami tidak menahan kapal itu, sebaliknya menjaganya kerana muatannya terbabit dalam pertikaian undang-undang yang sedang dikendalikan polis Jawa Timur. Kami hanya membantu pihak polis,” tambahnya.
Kesemua 12 kru kapal yang merupakan warga asing berada dalam keadaan sihat, kata Rudhiro.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa tentera laut hanya menjaga kapal berkenaan, manakala sebarang pertanyaan mengenai penahanannya perlu dirujuk kepada pihak polis.
Sementara itu, pasukan peguam MV Global 88 mempersoalkan asas tindakan mengawal kapal berkenaan.
Peguam Fajriani Langgeng berkata, berdasarkan pemeriksaan awal, tiada sebarang pelanggaran berkaitan dakwaan pengangkutan barangan haram ditemukan.
Beliau berkata, keseluruhan muatan kapal itu terdiri daripada barangan yang sah di sisi undang-undang.
“Sepatutnya kapal ini sudah pun lewat membawa barangan, tetapi ia diperiksa di perairan Majene sebelum terus diiringi ke Pangkalan Tentera Laut Balikpapan. Penahanan kapal itu tidak berasas dan tiada petunjuk bahawa barangan berkenaan menyalahi undang-undang atau mempunyai masalah dari segi dokumentasi pentadbiran,” katanya.
Persoalan undang-undang yang menjadi asas tindakan mengawal MV Global 88 masih menunggu penjelasan lanjut daripada pihak polis, manakala pasukan peguam kapal itu terus mempersoalkan alasan tindakan berkenaan. – AGENSI











