JKR pasang tiang amaran lokasi nahas enam beranak

JKR mula pasang tiang amaran lokasi nahas enam beranak

TIANG amaran sementara dipasang di lokasi tragedi meragut enam nyawa sekeluarga di Sungai Korok, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang tiang amaran sementara semalam di lokasi tragedi meragut enam nyawa sekeluarga di Sungai Korok berhampiran Kampung Kemboja, sebagai langkah awal mempertingkat aspek keselamatan jalan raya di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mohammad Yusof Zakaria berkata, pemasangan tiang dilakukan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian, terutama di tepi tebing sungai yang menjadi titik nahas.

“Ini merupakan antara tindakan awal dicadangkan oleh JKR sebelum kerja-kerja pembinaan pagar penghadang serta kemudahan keselamatan kekal lain dapat dilaksanakan setelah mendapat kelulusan peruntukan,” katanya dihubungi semalam.

Katanya, beliau turun padang ke lokasi kejadian meneliti keadaan secara langsung dan menilai keperluan penambahbaikan infrastruktur segera.

“Hasil pemerhatian, terdapat keperluan mendesak untuk mempertingkatkan ciri keselamatan laluan itu agar kejadian seumpama tidak berulang,” katanya.

Penambahbaikan infrastruktur di kawasan berisiko itu akan dilaksanakan secara berpe-ringkat mengikut cadangan dan keutamaan yang dikemukakan oleh agensi berkaitan.

“Cadangan lain termasuk pembinaan pagar penghadang kekal, pemasangan lampu jalan, paku jalan berpantul cahaya, papan tanda amaran, lampu berkelip dan tiang penunjuk arah,” katanya.

Kerajaan negeri, turut merakam penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas komitmen kesediaan kerajaan Persekutuan mempertingkat keselamatan jalan di kawasan berkenaan.

Sabtu lalu, negara dikejutkan dengan tragedi memilukan apabila sebuah kenderaan dinaiki enam sekeluarga terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Korok, mengorbankan kesemua penumpangnya.

Mangsa ialah Muhammad Azim Izat Ishak, 32; isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31; dan empat anak mereka: Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7; serta bayi lelaki, Tuah Haidar, berusia enam bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN