Saya cakap Inggeris bunyi Sik pun boleh jadi MB - Sanusi

Saya cakap Inggeris bunyi Sik pun boleh jadi MB – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempertahankan kebolehan berbahasa Inggeris beliau yang dikritik pelbagai pihak terutama pengguna media sosial.

Beliau berkata, keupayaan menggunakan bahasa lain tidak patut dinilai berdasarkan ketepatan tatabahasa semata-mata tetapi keberkesanan mesej yang disampaikan kepada pendengar.

“Belum ada orang putih yang komen bahasa Inggeris saya, yang komen ini semua Melayu. Duta Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan India, saya bercakap dengan mereka, mereka faham, mereka hargai saya, itu adalah seni dalam komunikasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Macam ceplos pandai bahasa Inggeris tapi dia jadi keyboard warrior saja. Kita cakap Inggeris dialek Sik saja pun boleh jadi menteri besar kira hebat tak begitu,” katanya pada sidang akhbar Program The Greater Kedah Lecture Series, di sini, hari ini.

Pada Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026, baru-baru ini, Muhammad Sanusi dikritik pengguna media sosial terhadap penyampaiannya dalam bahasa Inggeris ketika membangkitkan isu unsur nadir bumi (REE) pada forum berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau sudah pergi ke 38 negara dan menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dalam pelbagai misi.

Katanya, beliau tidak menganggap ketepatan tatabahasa sebagai ukuran mutlak dalam komunikasi selagi mesej yang disampaikan dapat difahami penerima.

“Bahasa apa pun penting tetapi lebih penting lagi prestasi dan cara penyampaian. Selagi orang faham dan boleh terima, Alhamdulillah. Saya orang Sik, jadi ada dialek Sik jadi Siklish, kalau di Singapura ada Singlish,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berseloroh mahu menggunakan bahasa Inggeris dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka yang mana Pas akan bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Saya akan cakap orang putih di Melaka bagi mereka sakit hati lagi, bagi mereka ada berita untuk ditulis mengenai tatabahasa tak betul,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini