KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membayar RM24.4 juta kepada KCJ Engineering Sdn. Bhd. (KESB) bagi pelaksanaan satu projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, mahkamah diberitahu KESB merupakan salah sebuah syarikat di dalam senarai 54 syarikat kontraktor yang diberikan oleh Muhyiddin kepada bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bagi pelaksanaan 54 projek di bawah Jana Wibawa secara rundingan terus (Reka & Bina).
Bayaran itu melibatkan projek pembinaan jalan baharu menghubungkan Felda Bukit Jalor ke Gemas, Negeri Sembilan dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah RM62 juta.
Pengarah JKR Negeri Sembilan, Wan Hasnan Wan Musa berkata, jumlah tersebut merangkumi bayaran Wang Pendahuluan Kontrak (WPK) sebanyak RM10 juta serta sembilan transaksi lain yang dibuat kepada syarikat berkenaan antara 28 Mac dan 15 Februari 2023.
Saksi pendakwaan ke-17 itu turut mengesahkan terdapat tiga bayaran berjumlah kira-kira RM4.7 juta yang disyorkan bagi projek berkenaan, namun tiada bayaran dibuat kepada KESB berikutan kekurangan peruntukan.
Katanya, projek berkenaan mula dilaksanakan pada 22 Disember 2021 selepas beliau mengambil alih tugas sebagai pengarah pada 1 September tahun sama, dengan tempoh kontrak ditetapkan selama 34 bulan.
“Selepas saya menyambung tugas sebagai Pengarah JKR Negeri Sembilan, saya sahkan projek ini telah bermula pada 22 Disember 2021 dan saya telah melaksanakan tugas sebagai Pegawai Penguasa bagi projek ini,” katanya membacakan pernyataan saksi.
Terdahulu, Wan Hasnan mengesahkan Kerajaan Malaysia bersetuju menerima tawaran tender daripada KESB bagi projek berkenaan menerusi Surat Setuju Terima (SST) bertarikh 30 Julai 2021.
Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Mohd Afzal pada pemeriksaan utama, Wan Hasnan berkata projek berkenadindan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Julai ini.
Katanya, kemajuan projek dipantau menerusi mesyuarat bulanan yang dihadiri semua jurutera daerah berkaitan.
“Bagi peratus kemajuan semasa, saya tidak pasti, bagaimanapun, projek ini dijangka siap pada penghujung Julai 2026.
“Sebahagian daripada projek ini sudah diserahkan kepada kerajaan, kontraktor telah menyiapkan dan menyerahkan bahagian berkenaan dan kami telah mengeluarkan Sijil Siap. Baki kerja pula dijangka siap pada penghujung bulan ini,” katanya.
Pada 6 Julai lalu, Tengku Zafrul memaklumkan syarikat kontraktor berkenaan telah gagal penilaian pertama oleh Bahagian Perolehan Kerajaan (BPK), Kementerian Kewangan.
Ekoran kegagalan itu, syarikat kejuruteraan dan pembinaan tersebut tidak disyorkan untuk Projek Membina Jalan Baru Menyambung Felda Bukit Jalor Ke Gemas, Negeri Sembilan bernilai RM100 juta.
Bagaimanapun, pada 3 Februari 2021, Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah mengemukakan maklumat tambahan berkaitan KESB melalui surat.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok. – UTUSAN










