RM100 juta bina Kolej Vokasional Pengerang, pacu industri minyak dan gas

RM100 juta bina Kolej Vokasional Pengerang, pacu industri minyak dan gas

ANWAR Ibrahim menyempurnakan gimik pelancaran sempena Majlis Peluncuran Kolej Vokasional Pengerang di SMK Tanjung Pengelih, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi membangunkan Kolej Vokasional Pengerang di sini sebagai langkah strategik memperkukuh penyediaan tenaga mahir khususnya dalam industri minyak dan gas negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek berkenaan akan dilaksana sebelum 2030 dengan penekanan terhadap perancangan rapi serta penyelarasan menyeluruh agensi terlibat.

Katanya, kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) penting bagi memastikan projek tersebut dapat dilaksana mengikut jadual ditetapkan.

“Walaupun keadaan ekonomi semasa agak mencabar, kawasan Pengerang merupakan lokasi strategik bagi perkembangan industri minyak dan gas selain Sarawak dan Sabah.

“Justeru itu, kerajaan meluluskan projek bernilai RM100 juta ini demi kepentingan komuniti serta pembangunan sektor berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kolej Vokasional Pengerang yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pengelih hari ini.

Anwar berkata, projek itu perlu disegerakan dengan jadual pelaksanaan yang jelas bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati dalam tempoh ditetapkan.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, industri minyak dan gas negara memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mencukupi bagi menyokong pertumbuhan sektor berkenaan.

“Usaha memperkasa latihan kemahiran dan pembangunan bakat tempatan perlu dipergiat secara berterusan. Konsep ‘talent pool’ harus diberi perhatian supaya negara tidak terlalu bergantung kepada tenaga mahir luar khususnya dalam industri besar seperti pusat data dan teknologi digital.

“Kebergantungan kepada pakar luar hanya bersifat sementara, sebaliknya negara perlu mempercepat usaha melahirkan tenaga profesional tempatan yang berkualiti tinggi dan memenuhi keperluan industri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN