TEXAS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi bayangan Venezuela berpotensi untuk dijadikan sebagai negeri ke-51 AS berikutan kejayaannya menguasai perjanjian bekalan minyak bernilai bilion tong dari negara Amerika Selatan berkenaan.
Kenyataan itu disampaikan semasa beliau menghadiri perhimpunan kempen di Corpus Christi, Texas sambil mempamerkan sebuah kapal tangki di luar pantai Texas yang didakwanya membawa kira-kira satu juta tong minyak dari Venezuela.
Perkembangan berkenaan menyusuli tindakan ketenteraan AS pada Januari lalu yang menyaksikan penangkapan Pemimpin Venezuela, Nicolás Maduro sebelum pentadbiran Trump memeterai perjanjian minyak dengan kerajaan sementara yang disokong oleh Washington.
“Venezuela bakal menjadi sebuah negara yang makmur dan siapa tahu? Mungkin suatu hari nanti ia akan menjadi negeri ke-51 yang makmur,” kata Trump di hadapan penyokongnya sambil menyifatkan perkara itu tidak mustahil.
Tindakan menyuarakan cadangan penggabungan wilayah luar ini menambah senarai negara serta wilayah yang pernah disasarkan oleh Trump sebelum ini, termasuk Greenland, Kanada dan Mexico.
Pengumuman itu dibuat ketika tinjauan pendapat menunjukkan kadar sokongan terhadap Trump merosot ke tahap terendah berikutan dasar luar beliau yang agresif, termasuk pencerobohan ketenteraan ke atas Iran serta pelaksanaan tarif perdagangan antarabangsa.
Bagaimanapun, Trump mempertahankan operasi di Venezuela tersebut sebagai pencapaian besar dan mendakwa harga bahan api AS yang melonjak susulan peperangan di Iran bakal mengalami penurunan mendadak dalam masa terdekat.
“Kita sedang merayakan kemenangan minyak terbesar dalam sejarah, di mana bekalan minyak yang diperoleh ini dibekalkan kepada AS tanpa sebarang kos yang ditanggung oleh pembayar cukai AS.
“Dengan memperluas penguasaan tenaga dari Alaska hingga ke Venezuela, saya berjaya menjadikan Hemisfera Barat sebagai pusat tenaga dunia,” tegas beliau.
Perjanjian berkenaan bagaimanapun mencetuskan kritikan pelbagai pihak berikutan kegagalan pentadbiran AS mendorong peralihan demokrasi di Venezuela di mana pilihan raya tidak diadakan sejak Maduro ditahan dan dibawa ke New York untuk menghadapi pertuduhan jenayah susulan serbuan di kediamannya di Caracas. -AGENSI










