Felcra kena pulihkan projek pulangan rendah

Felcra kena pulihkan projek pulangan rendah

AHMAD Zahid Hamidi menyerahkan replika cek agihan kepada wakil penerima pada majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta Felcra di Ayer Keroh, semalam. Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi Felcra, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub (dua dari kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Felcra Berhad perlu mengenal pasti punca projek yang mencatat pulangan rendah dan menyediakan pelan penambahbaikan dengan sasaran jelas bagi memastikan pendapatan peserta terus meningkat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha mening­katkan keuntungan peserta tidak boleh bergantung semata-mata kepada kenaikan harga komoditi, sebaliknya memerlukan pengurusan ladang yang cekap, peningkatan produktiviti dan kawalan kos operasi.

Katanya, kelemahan peng­urusan di peringkat ladang boleh menjejaskan hasil sekiranya tidak ditangani segera, termasuk kelewatan menuai, buah yang tidak dikutip dan pembajaan tidak mengikut jadual.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Projek yang berdepan ma­salah pokok berusia memerlukan perancangan penanaman semula, sementara kelemahan operasi mesti diperbetulkan segera dan secara menyeluruh,” katanya semasa berucap pada Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta Felcra Berhad di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Felcra perlu memastikan setiap projek diurus secara berkesan supaya tanah diba­ngunkan dapat memberikan pulangan lebih baik kepada peserta.

Beliau turut menegaskan ke­pentingan ketelusan peng­urusan dengan memastikan peserta menerima penerangan yang mudah difahami mengenai prestasi pengeluaran, kos peng­urusan dan kaedah pengiraan keuntungan.

Katanya, kefahaman terhadap prestasi projek membolehkan peserta merancang kewangan dengan lebih baik, selain me­ningkatkan keyakinan mereka terhadap pengurusan Felcra.

Pada majlis sama, beliau meng­umumkan agihan keuntungan boleh agih Interim 2/2026 berjumlah RM190.6 juta kepada hampir 72,000 peserta membabitkan 734 projek di seluruh negara bagi tempoh Mei hingga Ogos lalu, dengan pembayaran kepada peserta yang layak dilaksanakan secara berperingkat mulai hari ini (semalam).

Jumlah itu meningkat RM63.7 juta atau 50.2 berbanding agihan Interim 1 yang diumumkan pada Julai lalu.

Ahmad Zahid turut menggesa Felcra memperluas peluang ekonomi keluarga peserta melalui bidang penyelenggaraan jentera, pengangkutan, pembekalan dan pemasaran hasil pertanian, selain memperkukuh latihan kemahiran untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan ke­usahawanan kepada generasi muda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini