Harga minyak mentah dijangka kekal atas AS$100 setong tahun ini

Harga minyak mentah dijangka kekal atas AS$100 setong tahun ini

EIA mengunjurkan harga minyak Brent sekitar AS$105 (RM426.66) setong pada suku keempat 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah dijangka kekal melebihi AS$100 (RM406.36) setong bagi baki 2026, sekiranya gangguan bekalan berterusan susulan ketidaktentuan di Asia Barat.

Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, berdasarkan unjuran Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) pada Oktober 2026, harga minyak Brent dijangka mencatatkan purata sekitar AS$105 (RM426.66) setong pada suku keempat 2026.

Katanya, angka tersebut kemudiannya dijangkan menyederhana kepada sekitar AS$84 (RM341.37) setong pada 2027, dengan andaian bekalan minyak global beransur pulih.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terdapat tiga kemungkinan utama bagi 2027. Sekiranya ketegangan geopolitik mereda, harga berpotensi menurun kepada sekitar AS$75 (RM304.80) hingga AS$90 (RM365.79) setong.

“Jika ketidaktentuan berterusan, harga mungkin berlegar antara AS$90 (RM365.79) hingga AS$110 (RM447.07) setong. Namun, peningkatan konflik yang lebih serius boleh melonjakkan harga melebihi AS$120 (RM487.72) setong.

“Pada pandangan saya, harga minyak berpotensi menyederhana pada 2027, tetapi risiko kenaikan masih tinggi. Kerajaan perlu mengambil kira pelbagai senario harga minyak dalam perancangan ekonomi dan fiskal bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Siong Hook berkata, kenaikan harga minyak mentah dunia tidak semestinya memberikan keuntungan bersih kepada ekonomi Malaysia yang merupakan negara pengeluar dan pengeksport petroleum.

Menurutnya, Malaysia turut mengimport minyak mentah dan produk petroleum bertapis, menyebabkan peningkatan harga minyak boleh menaikkan kos import serta perbelanjaan subsidi bahan api.

“Dari sudut positif, harga minyak yang tinggi berpotensi meningkatkan hasil petroleum melalui cukai, royalti dan dividen Petronas. Namun, manfaat tersebut perlu dibandingkan dengan peningkatan subsidi, tekanan inflasi, kos pengeluaran dan pengangkutan serta pengurangan kuasa beli rakyat.

“Tambahan pula, manfaat kenaikan harga minyak lebih tertumpu kepada sektor petroleum dan hasil kerajaan, sedangkan kesan kenaikan kos tenaga boleh dirasai oleh hampir keseluruhan sektor ekonomi,” ujarnya.

Tambahnya, penggunaan domestik, daya saing perniagaan dan pertumbuhan ekonomi berpotensi terjejas sekiranya harga minyak kekal tinggi.

Jelasnya, kelembapan ekonomi global akibat kenaikan harga tenaga juga boleh mengurangkan permintaan terhadap eksport Malaysia.

“Pada pandangan saya, harga minyak sekitar AS$100 (RM406.36) setong yang berpanjangan lebih berpotensi membebankan ekonomi Malaysia berbanding memberikan manfaat bersih yang besar, khususnya apabila kenaikan berpunca daripada gangguan bekalan geopolitik. 

“Bagaimanapun, kesan bersih sebenar bergantung pada tambahan hasil petroleum, kos subsidi dan kesan terhadap aktiviti ekonomi.

“Oleh itu, keutamaan kerajaan bukan sekadar memanfaatkan peningkatan hasil petroleum, tetapi memastikan kestabilan harga, melindungi kuasa beli rakyat, mengekalkan disiplin fiskal serta memperkukuh daya tahan ekonomi melalui kepelbagaian sumber tenaga dan peningkatan produktiviti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini