Lonjakan harga Brent berisiko naikkan beban subsidi bahan api

Lonjakan harga Brent berisiko naikkan beban subsidi bahan api

KEMENTERIAN Kewangan melaporkan pada Julai 2026 bahawa subsidi produk petroleum tahun ini boleh menghampiri RM40 bilion sekiranya keadaan pasaran ketika itu berterusan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lonjakan harga minyak mentah Brent melepasi AS$100 (RM408.27) setong susulan serangan Houthi yang mengancam infrastruktur minyak Arab Saudi berisiko meningkatkan beban subsidi bahan api kerajaan, kos operasi perniagaan serta tekanan inflasi, sekiranya ketidaktentuan bekalan global berlarutan dalam beberapa bulan akan datang.

Pakar ekonomi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Barjoyai Bardai berkata, paras AS$100 (RM408.27) setong merupakan tahap amaran penting bagi Malaysia, terutama jika kenaikan itu disertai peningkatan harga diesel serantau, kos penghantaran dan kelemahan ringgit.

Katanya, harga minyak yang tinggi bukan sahaja meningkatkan kos bekalan bahan api, malah boleh memberi kesan berantai kepada sektor pengangkutan, logistik, pertanian, pembinaan dan pengeluaran makanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekiranya Brent berada pada paras AS$100 (RM408.2) hingga AS$120 (RM489.9) setong selama beberapa bulan, kerajaan mungkin menghadapi pilihan yang lebih sukar antara mengekalkan subsidi, memperkukuh bantuan bersasar atau menyesuaikan harga bahan api secara berperingkat.

Kementerian Kewangan melaporkan pada Julai 2026 subsidi produk petroleum bagi tahun ini boleh menghampiri RM40 bilion sekiranya keadaan pasaran ketika itu berterusan. 

“Angka ini menunjukkan betapa sensitifnya kedudukan fiskal negara terhadap kenaikan harga tenaga antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, beban subsidi sebenar tidak bergantung pada harga Brent semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi harga produk petroleum siap, kadar pertukaran ringgit, jumlah penggunaan bahan api dan keberkesanan mekanisme penyasaran subsidi.

Menurutnya, harga Brent diniagakan sekitar AS$105 (RM428.66) setong pada 13 Oktober susulan ketegangan di Asia Barat dan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak.

“Risiko terhadap infrastruktur petroleum Arab Saudi serta laluan penghantaran strategik seperti Selat Hormuz turut meningkatkan kebimbangan pasaran, khususnya berhubung kesinambungan bekalan dan kenaikan kos insurans serta pengangkutan kapal tangki.

“Pada masa sama, kemungkinan peningkatan eksport diesel Rusia boleh membantu mengurangkan tekanan bekalan produk petroleum, namun kesannya bergantung pada jumlah eksport yang dapat direalisasikan dan kelancaran penghantaran kepada pembeli.

“Pasaran diesel juga berdepan risiko tersendiri kerana harganya bukan sahaja dipengaruhi minyak mentah, tetapi turut bergantung pada kapasiti penapisan, inventori produk petroleum dan permintaan sektor pengangkutan serta industri,” ujarnya.

Barjoyai berkata, gangguan terhadap kilang penapisan di Rusia atau Asia Barat boleh mengetatkan bekalan diesel walaupun bekalan minyak mentah masih tersedia.

“Kenaikan harga diesel pula berpotensi meningkatkan caj pengangkutan dan penghantaran, sekali gus mendorong peniaga serta pengilang memindahkan sebahagian kenaikan kos kepada pengguna.

“Kesan tersebut boleh dirasai melalui harga makanan, barangan keperluan, bahan binaan dan perkhidmatan tertentu, sekali gus menambah tekanan terhadap kuasa beli isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” jelasnya.

Tambahnya, harga Brent berpotensi berada antara AS$80 (RM326.6) hingaa AS$95 (RM387.84) setong sekiranya risiko geopolitik reda dan penghantaran minyak kembali normal.

“Bagaimanapun, jika ketegangan berterusan, harga dijangka berada dalam julat AS$95 (RM387.84) hingga AS$115 (RM469.49) setong, manakala konflik yang semakin buruk dan gangguan serius terhadap eksport minyak boleh mendorong harga mencecah AS$115 (RM469.49) hingga AS$130 (RM530.71) Setong atau lebih,” jelasnya.

Tambahnya, Malaysia berpotensi menerima manfaat daripada peningkatan hasil berkaitan petroleum apabila harga minyak meningkat, bergantung pada pengeluaran, kos operasi, struktur cukai dan dividen syarikat petroleum negara.

“Namun, manfaat itu perlu dinilai berbanding pertambahan perbelanjaan subsidi serta bantuan kepada rakyat dan perniagaan. Sekiranya kos subsidi meningkat lebih cepat daripada tambahan hasil kerajaan, ruang fiskal boleh menjadi semakin sempit,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini