Harga minyak mentah cecah AS$100 setong beri tekanan fiskal - Utusan Malaysia

Harga minyak mentah cecah AS$100 setong beri tekanan fiskal

HARGA minyak mentah kembali melonjak susulan serangan terbaharu AS terhadap Iran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah Brent melonjak dan menguji semula paras AS$100 (RM406.85) setong berikutan peningkatan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing di Asia Barat, seterusnya memberi tekanan defisit dan mengecilkan ruang fiskal kerajaan.

Lewat petang semalam, harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 2.24 peratus kepada AS$100.18 (RM407.49) setong berbanding RM402.59 pada Selasa. 

Kenaikan mendadak niaga hadapan minyak mentah global itu berlaku susulan serangan tentera Amerika Syarikat (AS) berhampiran Pulau Kharg, yang merupakan terminal eksport minyak utama Iran, serta bandar pelabuhan Jask.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, sekiranya harga minyak kekal pada paras tinggi untuk tempoh lama, perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan akan meningkat dengan ketara sekiranya harga runcit terus dikawal.

“Perkembangan ini boleh memberi tekanan kepada kerajaan untuk perbelanjaan pembangunan serta bantuan lain. Walaupun Malaysia mendapat manfaat daripada hasil petroleum yang lebih tinggi, kos subsidi boleh meningkat lebih cepat berbanding pertambahan hasil sekiranya harga tinggi berpanjangan.

“Oleh itu, pelaksanaan subsidi bersasar dan pengurusan fiskal yang berdisiplin menjadi semakin penting bagi mengekalkan kedudukan fiskal negara yang kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Sementara itu, CIMB Research dalam nota penyelidikannya berkata, perkembangan dramatik tersebut telah mencetuskan semula kebimbangan terhadap tekanan inflasi global berikutan lonjakan semula harga tenaga.

“Pada masa sama, Presiden AS, Donald Trump turut memburukkan lagi ketegangan perdagangan dengan Kanada dengan melarang syarikat negara itu daripada menyertai kontrak kerajaan AS,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Bersama Penyelidikan Komoditi Global Goldman Sachs, Daan Struyven memberi amaran bahawa konflik AS-Iran yang kini memasuki bulan ketujuh meningkatkan risiko lonjakan harga minyak melebihi AS$120 (RM488.40) setong berikutan serangan ke atas laluan perkapalan yang semakin meruncing.

“Perkembangan kebelakangan ini menunjukkan kebarangkalian berlakunya senario lonjakan harga minyak melebihi AS$120 setong semakin meningkat, terutamanya jika eksport terhenti dalam tempoh beberapa bulan akan datang akibat kekerapan serangan perkapalan yang bertambah luas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×