KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membalas pantun Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kemungkinan kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini dengan menyifatkan keadaan semasa masih menimbulkan kekeliruan.
Ketika sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini, Wan Rosdy berkata, walaupun hubungan dalam dewan dilihat baik, keadaan berbeza apabila berada di luar dewan apabila terdapat kenyataan politik yang seolah-olah bercanggah.
Beliau membalas pantun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu dengan rangkap :
“Pinang muda di dalam dulang, Sekapur sirih pembuka bicara. Adat dijaga sebelum meminang, Merisiklah dulu, hantarlah tanda.”
Wan Rosdy kemudian menyambung dengan pantun spontan yang menggambarkan keadaan hubungan politik semasa.
“Pandang atas nampak biru. Pandang bawah pun nampak biru. Pandang kanan nampak macam nak bertemu. Tapi bila pandang kiri nampak keliru,” katanya.
Menurutnya, kekeliruan itu bukan berlaku dalam kalangan wakil rakyat di dalam dewan, sebaliknya lebih kepada tindakan penyokong atau pengikut politik di luar yang dilihat masih belum menunjukkan keselarasan pendirian.
“Yang keliru itu bukan apa, dalam dewan ini okey, alhamdulillah. Syabas, tahniah. Tapi di luar, luar dewan macam tak nak berkawan.
“Dalam dewan nak berkawan tapi di luar dewan macam tak nak berkawan. Bukan rakan-rakan Yang Berhormatlah, anak-anak buah kita ini,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan apabila pemimpin kedua-dua pihak dilihat boleh bersalaman dan berpelukan ketika berada dalam dewan, namun sebaik sahaja berada di luar, muncul pula kenyataan politik dan pendirian lain yang mengelirukan penyokong.
Ketika itu, ADUN Luit, Datuk Mohd Sofian Abd Jalil turut mencelah dengan pantun – “Air laju dari hulu, Anak udang atas busut. Kita semua jangan keliru, Urai-uraikanlah yang kusut.”
Wan Rosdy kemudian menjawab ringkas dengan mengajak perkara itu dibincangkan di luar dewa.
Sebelum ini, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas menjelaskan pantun dibacakannya ketika perbahasan belanjawan negeri merupakan isyarat ‘merisik khabar’ berhubung kemungkinan kerjasama PN-BN di Pahang. – UTUSAN











