PETALING JAYA: Polis membuka siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua susulan hantaran dimuat naik di laman Facebook miliknya mengulas mengenai isu titah dan Rukun Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tindakan itu diambil selepas polis menerima 28 laporan di seluruh negara berhubung hantaran berkenaan.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kami telah memulakan siasatan selepas menerima laporan polis dari seluruh negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada pihak polis akan memanggil Tony Pua bagi membantu siasatan, Kumar berkata tindakan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Sudah tentu, kami akan memanggil semua pihak yang terlibat bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas exco Selangor Ronnie Liu hadir i ke Dataran Selangor bagi memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara serta menghormati kedaulatan institusi diraja.
Susulan itu, Tony dalam hantaran di Faceboook didakwa berkata Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa Raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tony berkata, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat. – UTUSAN










