PETALING JAYA: Kertas siasatan ke atas bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua susulan kontroversi hantaran di media sosial berkaitan Rukun Negara sedang dilengkapkan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, setakat ini sebanyak 98 laporan polis sudah diterima di seluruh negara.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kertas siasatan sedang dilengkapkan.
“Kita sudah merakam keterangan beliau (Tony Pua) dan siasatan sedang dilengkapkan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Tony Pua menghabiskan masa kira-kira 40 minit untuk diambil keterangan susulan kontroversi hantaran di media sosial berkaitan Rukun Negara.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu dipanggil Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi membantu siasatan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
Menerusi hantaran itu, Tony menyatakan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek-aspek tertentu sahaja.
Katanya, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat. – UTUSAN










