Tony Pua gesa PH putus hubungan dengan UMNO sebelum ditikam belakang

Tony Pua gesa PH putus hubungan dengan UMNO sebelum ditikam belakang

TONY PUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu menetapkan garis masa jelas untuk menamatkan kerjasama dalam Kerajaan Madani sebelum UMNO yang didakwa bersikap ‘tikam belakang’ terus menimbulkan ketegangan dalam gabungan itu.

Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkata, tindakan UMNO mengumumkan hasrat bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dengan jelas telah menunjukkan sikap sebenar parti tersebut.

Katanya, UMNO dilihat mahu meraih semua keuntungan politik tanpa bertolak ansur, sekali gus menjadikan kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) semakin sukar untuk diteruskan.

“Sudah tiba masanya satu garis masa ditetapkan untuk membubarkan gabungan Madani, sebelum kita ditikam dari belakang oleh UMNO yang penuh muslihat.

“PH melakukan segala yang termampu untuk mengekalkan kestabilan kerajaan dalam situasi yang tidak ideal, di mana kita terpaksa bergantung kepada BN untuk membentuk majoriti. 

“Ya, memang ada pengorbanan yang dibuat demi kestabilan politik, dan Malaysia telah mendapat manfaat daripadanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Pua yang juga veteran DAP berkata, walaupun hubungan itu sangat janggal namun kerjasama dengan parti yang disifatkannya masih memuja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mesti ditamatkan pada waktu yang sesuai.

“Tiada sebab untuk mempercayai kata-kata manis pemimpin UMNO yang mendakwa keputusan UMNO di Johor tidak menjejaskan hubungan di peringkat Persekutuan.

“Mereka tidak boleh dipercayai. Ya, kemenangan mungkin sukar dicapai jika PH bergerak solo. Ya, kita sedang berdepan pelbagai persepsi negatif pengundi walaupun banyak kejayaan telah dicapai, khususnya dalam ekonomi. 

“Tetapi lebih baik kita kalah pilihan raya (dan itu pun belum tentu) dengan maruah dan kehormatan, daripada menjadi mangsa pengkhianatan di tangan UMNO. Biar putih tulang, jangan putih mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN