PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee perlu menjelaskan bagaimana beliau memperoleh minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pua juga perlu menjawab bagaimana dokumen itu sampai ke tangannya sehingga beliau dapat menyiarkannya lebih awal daripada mana-mana agensi kerajaan.
“Apa lebihnya kamu berbanding rakyat awam yang lain sehingga seluruh rakyat Malaysia terpaksa membaca dokumen tersebut daripada Facebook kamu, seolah-olah Facebook kamu ialah saluran rasmi kerajaan?
“Dokumen sudah dinyahklasifikasikan adalah satu perkara. Bagaimana dokumen itu sampai ke tangan kamu adalah satu perkara yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, Tony Pua dilapor mempersoalkan keperluan menyiasatnya berhubung penyiaran beberapa muka surat minit mesyuarat itu.
Pua berkata, pihak yang membangkitkan isu berkenaan, termasuk UMNO dan Pas, perlu memahami kedudukan undang-undang memandangkan dokumen tersebut telah dinyahklasifikasikan.
Menurutnya, status dokumen itu turut disahkan oleh menteri di Parlimen.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli turut meminta Tony Pua menyatakan nama penuh individu yang menyerahkan minit mesyuarat itu kepadanya bagi mengelakkan orang ramai tersalah sangka.
“Mudah sahaja. Nyatakan siapa yang memberikan minit mesyuarat itu kepada kamu. Tulis nama penuh dengan betul.
“Kalau Hassan Yusuf misalnya, tulislah Hassan Yusuf. Jangan tulis HY sahaja, nanti orang tersalah sangka dengan orang lain. Itu sekadar contoh nama, bukan tuduhan. Apa susah sangat hendak jawab?,” soalnya. – UTUSAN











