Perkara peribadi lebih baik simpan sendiri - Keith Foo - Utusan Malaysia

Perkara peribadi lebih baik simpan sendiri – Keith Foo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Percaya dengan kewujudan penyakit ain, pelakon, Keith Foo memilih untuk tidak terlalu terbuka berkongsi mengenai kehidupan peribadi termasuk hubungannya dengan aktres, Riena Diana di media sosial.

Menurut Keith, pendekatan tersebut bukanlah kerana mahu menyembunyikan sesuatu, sebaliknya dia berpendapat ada batas yang perlu dijaga lebih-lebih lagi membabitkan urusan peribadi.

”Tidak ada apa-apa yang saya mahu elakkan. Cuma bagi saya, ada perkara berkaitan kehidupan peribadi yang lebih baik disimpan sendiri. Kalau berkaitan kerja, memang kami akan kongsikan semuanya. Namun, dalam perkara tertentu, kita perlu tahu batas masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya juga percaya dengan penyakit ain. Dalam kepercayaan saya pun kami memanggilnya ‘evil eye‘. Ibu selalu berpesan mengenai perkara itu, malah kadang-kadang dia turut mengingatkan Riena,” katanya ketika ditemui pada watch party Suamiku Anak Mak, pada Khamis.

Dalam masa sama, Keith berpendapat setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan perasaan, namun dia lebih selesa andai kisah peribadinya tidak dipertontonkan kepada umum.

“Saya seorang yang lebih mementingkan privasi. Namun, perkara itu bergantung kepada individu dan bagaimana mereka mengekspresikan diri masing-masing. Bagi saya, ada kalanya saya memilih untuk tidak berkata apa-apa atau melibatkan sesiapa.

“Dalam apa jua hubungan, pertengkaran itu perkara biasa. Kalau tidak ada perselisihan faham, bagaimana kita hendak menyesuaikan diri dan mengenali satu sama lain? Saya rasa itu normal.

“Selepas apa yang berlaku, kami akan duduk berbincang mengenai perkara tersebut dan mengenal pasti apa yang perlu diperbaiki. Kalau perkara itu remeh-temeh, tidak perlulah dikongsikan. Kalau boleh diselesaikan antara kami berdua, selesaikan sahaja.

“Kebanyakan masa, kami akan duduk berbincang mengenai apa yang berlaku dan daripada situ kami tahu apa yang perlu dilakukan dengan lebih baik pada masa hadapan,” kongsinya.

Berkongsi mengenai perancangan untuk mendirikan rumah tangga bersama Riena, Keith memaklumkan ibunya turut menyuarakan perkara sama, namun dia enggan terburu-buru dalam membuat keputusan sebelum melangkah ke fasa lebih serius.

“Hubungan saya dengan Riena baik-baik sahaja. Doakan yang baik-baik, semuanya berjalan lancar. Apa yang penting, hubungan kami semakin kukuh dari hari ke hari dan kami berdua fokus kepada kerjaya masing-masing.

“Ibu saya adalah sedikit (bertanya), dia selalu cakap kalau hendak kahwin, cepatlah kahwin. Usianya sudah lebih 80 tahun tetapi terbeban itu tidak, saya rasa ibu memahami keadaan saya.

“Kadang-kadang kita perlu mengimbangi keadaan dan menjelaskan sesuatu supaya mereka memahami kita. Bukannya hendak menderhaka atau melawan cakap ibu, tetapi dalam perkara tertentu kita sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini