PETALING JAYA: Penyanyi, Ernie Zakri menerima pengiktirafan Ikon Muzik Asia Tenggara 2026 (Southeast Asia’s Music Icon Award 2026) pada Top Asia Corporate Ball 2026 yang berlangsung pada malam tadi.
Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 34, berkata, pengiktirafan itu disifatkannya sebagai satu amanah besar untuk terus membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
“November ini menjadi antara bulan paling bermakna dalam hidup dan kerjaya saya. Dalam tempoh singkat, saya diberi peluang membuat persembahan bersama Presiden Perancis, menerima pengiktirafan di SEBA Awards dan kini menerima anugerah Ikon Muzik Asia Tenggara 2026.
“Saya masih cuba menghadam setiap pengalaman ini. Saya anggap semuanya sebagai rezeki dan amanah besar, bukan sekadar tentang anugerah, tetapi peluang untuk terus berkembang sebagai anak seni Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ernie turut mencatat dua lagi pencapaian dalam tempoh 10 hari lalu apabila berpeluang membuat persembahan bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan menerima anugerah Selebriti Usahawan Terbaik pada SEBA ASEAN Elites Edition 2025/2026.
Pada 17 November, Ernie menyampaikan lagu klasik Perancis, La Vie en rose bersama Macron dalam majlis jamuan rasmi sempena lawatan Presiden Perancis itu ke Malaysia.
Top Asia Corporate Ball yang memasuki tahun ke-11 penganjuran dianjurkan RHA Media, penerbit Top 10 of Asia dan Top 10 of Malaysia, dengan menghimpunkan tokoh korporat, pemimpin perniagaan serta personaliti daripada pelbagai industri di Asia.
Ernie turut menyertai senarai penggiat seni terkenal yang pernah menerima pengiktirafan menerusi platform berkenaan, termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Datuk Sri Rossa, Afgan, Ruth Sahanaya dan Alan Tam.











