KUALA LUMPUR: Pemain Keyboard Exist, Ajai meluahkan rasa syukur dan gembira melihat perubahan positif vokalis kumpulan itu, Mamat yang kini sudah bergelar tunangan orang pada 22 November lalu.
Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 51, berkata, perkembangan terbaharu penyanyi itu merupakan antara perkara yang sudah lama didoakan dan diimpikan oleh mereka yang menganggap Mamat seperti saudara sendiri.
“Kami, abang-abang dan juga Along semua berasa bangga dengan apa yang dilihat sekarang. Apa yang kami doakan dan impikan sudah menjadi kenyataan. Kamu sendiri boleh lihat wajahnya yang semakin segar, kesungguhan dan daripada cara dia bercakap pun sudah boleh nampak perubahan adabnya sekarang,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Slam x Exists: The Greatest Hits, semalam.
Dalam pada itu, Ajai menyifatkan kehadiran seorang wanita dalam kehidupan Mamat sebagai sesuatu yang baik kerana penyanyi tersebut memerlukan teman yang boleh menjaga dan mendampinginya.
Katanya, sebagai sahabat, dia berharap hubungan yang dibina Mamat bersama wanita pilihan hatinya itu berkekalan hingga ke syurga.
“Saya rasa lebih bagus kerana dia tidak lagi kesunyian. Sebagai saudara, kami tumpang gembira dan sudah mengucapkan tahniah kepadanya. Jangan bertunang lama-lama. Kalau diikutkan, terus kahwin sahaja. Tetapi dia masih mengikut cara lama, mahu bertunang dahulu,” ujarnya.
Ditanya sama ada Mamat ada memaklumkan mengenai pertunangannya, Ajai berkata, penyanyi itu ada berkongsi berita gembira tersebut menerusi kumpulan WhatsApp mereka.
“Kita ada kumpulan WhatsApp, Mamat ini dahsyat, dia berahsia. Bila sudah tiba masanya baru dia beritahu hendak bertunang,” katanya.
Sebelum ini, pengurus kepada penyanyi itu berkongsikan Mamat atau nama sebenar Mohd Ali Kamarudin, 48, mengikat tali pertunangan dengan seorang wanita di Johor selepas 17 tahun bergelar duda.
Mamat pernah berkahwin dengan Marshila Mustapa Kamal pada 2001 tetapi bercerai pada 2009.
Hasil perkahwinan dengan Marshila, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Aleeya Mysara, 24, Mohd Eiki Daniell, 22, dan Dylea Mysara, 20.
Dia turut mempunyai seorang cucu perempuan berusia lima tahun hasil perkahwinan anak keduanya, Eiki Daniell.











