Isu ayam mentah di MRSM, pembekal ditegur

Isu ayam mentah di MRSM, pembekal ditegur

MOHD. Ridhwan Mohd. Ali meninjau keadaan dapur ketika melawat MRSM Tun Ghafar Baba di Jasin, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Sebanyak 100 ketul ayam dihidangkan dalam keadaan tidak sempat dimasak dengan sempurna selepas pembekal didakwa terlepas pandang terhadap penyediaan makanan bagi pelajar yang berpuasa di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini pada Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Melaka, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, bagaimanapun pihak pembekal diberikan tempoh tiga hari untuk melaksanakan penambahbaikan.

Katanya, pemeriksaan susulan akan dilakukan dengan lebih kerap bagi memastikan arahan dipatuhi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil siasatan dalaman pihak MRSM dan pemeriksaan pegawai kesihatan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) tiada kes keracunan makanan dilaporkan susulan kejadian itu.

“MPJ turut menghantar pegawai kesihatan untuk menjalankan pemeriksaan dan mengeluarkan teguran bertulis kepada pihak berkaitan mengikut Akta Makanan serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di MRSM Tun Ghafar Baba di sini, hari ini.

Isnin lalu, sebilangan pelajar didakwa dihidangkan dengan lauk ayam yang tidak dimasak dengan sempurna selepas menunggu sehingga pukul 7.10 malam bagi mendapatkan hidangan tambahan apabila bekalan ayam yang disediakan pembekal habis kira-kira jam 6.40 petang.

Insiden itu kemudian mendapat perhatian Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengarahkan siasatan segera bagi mengenal pasti punca kejadian serta tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab.

Jelas Ridhwan, beliau mengingatkan kepada pembekal khususnya di institusi pendidikan di negeri ini, supaya menjadikan kejadian itu sebagai pengajaran dengan memastikan setiap proses penyediaan makanan mematuhi prosedur keselamatan ditetapkan.

“Perkara paling penting ialah memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang kerana pelajar yang terlibat mempunyai tanggungjawab besar, malah ada antara mereka bakal menduduki peperiksaan penting dalam kehidupan mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini