Gunakan peluang terbentang untuk pilih laluan selari potensi diri - Ahmad Zahid

Gunakan peluang terbentang untuk pilih laluan selari potensi diri – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua lepasan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diminta untuk menggunakan peluang yang terbentang untuk memilih laluan yang selari dengan minat dan potensi diri mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, prestasi tahun ini amat memberangsangkan apabila seramai 13,779 calon berjaya mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha gigih para pelajar, dedikasi luar biasa para pendidik, serta doa dan sokongan berterusan ibu bapa yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan anak-anak.

“Tahniah sekali lagi kepada semua calon SPM 2025. Gunakan peluang yang terbentang untuk memilih laluan yang selari dengan minat dan potensi anda.

“Saya yakin, andalah generasi pelakar perubahan yang akan membina Malaysia yang lebih maju, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di pentas dunia,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mengulas mengenai pencapaian Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dalam SPM 2025, Ahmad Zahid berkata, beliau berbangga seramai 7,636 calon SPM daripada 57 maktab itu termasuk 80 orang yang berjaya memperoleh semua A+ dalam peperiksaan itu.

Jelasnya, keputusan SPM 2025 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.067 dengan 100 peratus calon layak menerima sijil peperiksaan tersebut.

Sebanyak 5 buah MRSM berada dalam kelompok teratas terbaik secara keseluruhan, mengatasi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah-sekolah harian lain di seluruh negara.

“Alhamdulillah, ini menjadi bukti jelas bahawa MRSM kekal sebagai institusi peneraju kecemerlangan pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu mengukuhkan kedudukan MRSM sebagai penanda aras kecemerlangan, khususnya dalam melahirkan bakat-bakat dari luar bandar yang bukan sahaja mampu bersaing di peringkat nasional malah berpotensi untuk menembusi pentas global.

Sementara itu, beliau turu memuji pencapaian empat pelajar Orang Asli yang berjaya memperoleh keputusan 9A, manakala seramai 114 pelajar mencatat keputusan cemerlang 5A ke atas.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama pelbagai agensi dalam memperkasa pendidikan komuniti Orang Asli, dengan memastikan setiap pelajar mendapat perhatian serta peluang yang saksama tidak kira di mana mereka berada.

“Tambahan itu, hasil pelbagai inisiatif berterusan Kerajaan, khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar semakin mengecil sebanyak 0.04 mata berdasarkan Gred Purata Kebangsaan (GPK),” katanya.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, KKDW akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan luar bandar termasuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif agar setiap pelajar dapat mencapai potensi terbaik mereka.

“Apa jua keputusan yang diperoleh, ia bukan penamat tetapi permulaan kepada perjalanan masa depan yang lebih besar. Kerajaan telah menyediakan pelbagai laluan pendidikan, sama ada melalui Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta mahupun melalui laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Melalui institusi seperti UniKL, Institut Kemahiran MARA, GIATMARA dan lain-lain, para pelajar kini mempunyai ruang yang lebih luas untuk meneroka potensi diri melalui ekosistem UP_TVET yang lebih tersusun dan menyeluruh,” katanya.

Tambahnya, TVET bukan lagi pilihan kedua tetapi menjadi arus perdana baharu dalam membina tenaga kerja mahir, berpendapatan tinggi serta relevan dengan keperluan industri masa hadapan.

“Malah, tahun lalu sahaja, seramai 53.9 peratus lepasan SPM memilih laluan TVET,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN