KUALA LUMPUR: Lapan buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bakal menerima warden veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepenuh masa bermula Rabu ini bagi membendung gejala buli.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kemasukan warden tersebut merupakan pelaksanaan fasa kedua selepas kejayaan projek rintis yang dijalankan di MRSM Besut dan Balik Pulau tahun lalu.
“(Pada) 1 Julai, Rabu ni warden-warden sepenuh masa bekas askar mula melaporkan diri di lapan MRSM terpilih termasuk MRSM Muar.
“Diharapkan selepas ini tiada lagi kedengaran kes-kes Buli selain tingkatkan tahap disiplin pelajar,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Asyraf , keputusan memperluaskan inisiatif tersebut dibuat selepas Majlis Mara bersetuju melaksanakan pelantikan warden sepenuh masa dalam kalangan veteran ATM secara berfasa di semua 58 MRSM di seluruh negara.
Beliau berkata, proses pemilihan calon dilaksanakan secara bersama oleh anak syarikat Mara, Glokal Link Sdn. Bhd. (GLSB) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah Mara, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), TalentCorp serta Seksyen Psikologi dan Kaunseling ATM.
“Sesi temuduga fizikal berlangsung pada 15 dan 16 Jun lalu di Institut Kemahiran Mara (INTEM), Kepong melibatkan seramai 147 calon termasuk 139 lelaki yang terlebih dahulu melepasi beberapa peringkat saringan.
“Pemilihan bukan dibuat berdasarkan temuduga semata-mata, sebaliknya calon perlu melalui ujian psikometrik MyNext OCEAN dan RIASEC, ujian psikologi ketenteraan, saringan kesihatan mental, pemeriksaan indeks jisim badan (BMI), bleep test serta temu duga panel pelbagai agensi,” katanya.
Beliau berkata, komponen penilaian psikologi turut memberi penekanan terhadap aspek perlindungan kanak-kanak, kawalan impuls, batas profesional, integriti serta petunjuk risiko salah laku seksual.
“Laluan pengambilan itu hanya dibuka kepada veteran ATM yang menamatkan perkhidmatan secara terhormat dan tidak pernah diberhentikan atas kesalahan disiplin berat atau pelanggaran undang-undang,” katanya.
Tambahnya, sebelum surat tawaran dikeluarkan, GLSB akan melengkapkan semua tapisan prapelantikan termasuk semakan status veteran, rekod jenayah, semakan Daftar Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak serta semakan disiplin dan dokumen berkaitan. – UTUSAN









