KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik popular Indonesia, Juicy Luicy bakal kembali menemui peminat di Malaysia menerusi Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live in Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 16 Januari 2027.
Konsert Anjuran AM. Entertainment itu bakal membawa peminat menghayati karya-karya Juicy Luicy yang banyak mengetengahkan kisah cinta, kerinduan dan perjalanan emosi menerusi gabungan muzik pop serta R&B.
Vokalisnya, Julian Kaisar berkata, kumpulan itu sentiasa menghargai sokongan peminat Malaysia yang memberikan sambutan bermakna setiap kali mereka mengadakan persembahan di Kuala Lumpur sejak 2023.
Menurutya, konsert kali ini bakal menampilkan rangkaian lagu yang menemani perjalanan muzik mereka, selain menjadi peluang untuk berkongsi pengalaman dan kenangan bersama peminat.
Juicy Luicy yang ditubuhkan di Bandung, Indonesia pada 2010 dianggotai Julian, Denis Ligia, Zamzam Y.M, Bina Bagja dan Eggy Ramadha. Antara lagu popular mereka termasuk Lantas, Tampar, Sialan, Tanpa Tergesa dan Lampu Kuning.
Tiket konsert ditawarkan pada harga RM 148 hingga RM 188 bagi kategori VIP dijual pada harga RM 300. Jualan tiket akan dibuka pada 6 November 2026 meenerusi platform Ticket2U.










