Guru Indonesia terima gaji bawah RM50 sebulan

Guru Indonesia terima gaji bawah RM50 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Parlimen Indonesia mencadangkan gaji minimum wilayah dijadikan penanda aras penetapan gaji guru menerusi pindaan undang-undang pendidikan negara itu bagi memastikan golongan pendidik, khususnya guru kontrak dan sekolah swasta, menerima bayaran lebih setimpal.

Naib Pengerusi Suruhanjaya X Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pendidikan, Lalu Hadrian Irfani berkata, cadangan itu sedang diusahakan untuk dimasukkan dalam pindaan Undang-Undang Nombor 20 Tahun 2003 mengenai Sistem Pendidikan Nasional.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengatasi masalah guru yang masih menerima gaji terlalu rendah meskipun kerajaan memperuntukkan sebahagian besar belanjawan negara untuk sektor pendidikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Indonesia memperuntukkan 757.8 trilion rupiah (RM170 bilion), bersamaan 20 peratus daripada perbelanjaan negara, bagi sektor pendidikan dalam Belanjawan 2026.

Daripada jumlah itu, sebanyak 274.7 trilion rupiah disediakan untuk tenaga pengajar dan kakitangan pendidikan.

Bagaimanapun, terdapat guru yang dilaporkan hanya menerima gaji antara 200,000 hingga 300,000 rupiah (RM44.80 hingga RM67.20) sebulan.

“Kami berharap pindaan undang-undang pendidikan itu menetapkan gaji minimum wilayah sebagai penanda aras gaji guru di seluruh negara supaya tiada lagi guru menerima 200,000 rupiah, 300,000 rupiah atau jumlah seumpamanya,” katanya kepada pemberita di kompleks Parlimen di Jakarta semalam.

Purata gaji minimum wilayah di negara itu pada 2026 adalah sekitar 3.51 juta (RM786) sebulan, namun kadarnya berbeza mengikut wilayah.

Jawa Barat mencatatkan kadar terendah iaitu 2.32 juta rupiah (RM520), manakala Jakarta menawarkan kadar tertinggi sebanyak 5.73 juta rupiah (RM1,284).

Lalu berkata, cadangan itu sedang dibincangkan bersama wakil parti politik dalam Suruhanjaya X bagi memastikan guru kontrak dan sekolah swasta turut menerima gaji yang adil.

Peruntukan itu dijangka dimasukkan dalam kandungan utama undang-undang yang dipinda, namun Ahli Parlimen masih belum menetapkan secara terperinci kadar gaji minimum atau had bayaran yang akan ditetapkan.

Lalu berkata, pihaknya berharap semua parti politik bersetuju dengan jaminan gaji minimum bagi meningkatkan kebajikan guru serta mengiktiraf peranan mereka dalam membentuk generasi akan datang.

Cadangan itu dikemukakan ketika sekumpulan pelajar mengadakan demonstrasi di Jakarta pada Rabu bagi menuntut kebajikan guru diberi perhatian dan reformasi lebih menyeluruh dalam sektor pendidikan sempena Hari Guru Kebangsaan.

Antara tuntutan dikemukakan termasuk pembayaran gaji yang adil, khususnya kepada guru kontrak dan bukan penjawat awam, proses pengambilan ke jawatan kontrak kerajaan yang lebih telus serta perlindungan undang-undang lebih kukuh untuk golongan pendidik.

Mereka turut menggesa kerajaan menambah baik kemudahan sekolah, memastikan akses pendidikan yang sama rata serta menyediakan pendidikan percuma sepenuhnya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini