PETALING JAYA: Veteran DAP, Dr. Tan Seng Giaw mengingatkan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua agar menjadikan asas Rukun Negara sebagai pegangan utama dalam setiap tindakan dan pandangan berkaitan isu semasa
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Seng Giaw yang juga bekas Ahli Parlimen Kepong berkata, Rukun Negara merupakan tunjang perpaduan yang perlu dipelihara seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang politik, walaupun lantang bersuara dalam pelbagai isu.
Katanya, prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara perlu terus dihormati kerana membentuk masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling menghormati.
“Saya orang Malaysia dan dia juga orang Malaysia. Jadi, apakah asas dan teras utama yang perlu dipegang oleh rakyat Malaysia? Sudah tentu Rukun Negara,” katanya.
Sebelum ini, Tony didakwa berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu supaya mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor bagi menghayati makna sebenar Rukun Negara.
Baginda menyarankan agar Siew Ki dan Ronnie datang ke Dataran Selangor seminggu sekali bagi melihat sendiri plak monumen dan menghayati makna sebenar Rukun Negara, supaya tahu hormat kepada kedaulatan institusi raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan. – UTUSAN










