IPOH: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memuji tindakan seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang mengkritik kutipan derma bagi membantu Datuk Seri Najib Razak membayar denda mahkamah sebanyak RM50 juta.
Beliau menyifatkan kenyataan mahasiswa itu sebagai manifestasi suara golongan muda yang menolak rasuah dan menganggap tindakan berkenaan wajar disokong.
“Saya nak puji mahasiswa kita. Ini suara rakyat, suara mahasiswa, suara generasi muda kita dan kita patut sokong.
“Saya juga menyambut baik keputusan pihak UM yang tidak akan menghukum mahasiswa tersebut, yang berjaya membawa suara rakyat apabila berkata perkara paling bodoh yang dia pernah lihat ialah apabila ada yang sudi derma kepada penyakau,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak Ke-24 di sini hari ini. Majlis dirasmikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Kor Ming berkata, tindakan memuja individu yang dikaitkan dengan rasuah boleh memberikan mesej yang salah kepada generasi muda.
Katanya, masyarakat perlu mempersoalkan mesej yang disampaikan kepada anak-anak dan generasi akan datang sekiranya individu yang terlibat dalam perlakuan rasuah terus mendapat pembelaan.
“Bayangkan apabila ada geng penyakau, memuja rasuah sehingga rasuah menjadi penyakit barah, mereka dijadikan bahan pujaan bukannya cemuhan. Adakah kita hendak menghantar mesej bahawa rasuah adalah kerjaya, bukan jenayah?
“Jangan biar mereka ini berkuasa di negara kita. Sebab itu Pakatan Harapan (PH) kena menang, wajib menang untuk kita selamatkan negara ini daripada geng-geng penyakau,” katanya.
Sebelum ini, tular video seorang mahasiswa UM yang mengkritik tindakan orang ramai mengumpul derma bagi membantu Najib membayar denda mahkamah RM50 juta.
Mahasiswa itu meluahkan kebimbangan terhadap gejala rasuah dan mempersoalkan bagaimana pemimpin masa depan seharusnya mengambil pendirian dalam isu berkenaan. – UTUSAN











