NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 13 maut selepas sebuah lori merempuh sekumpulan penganut Hindu yang menghadiri perayaan keagamaan di Gwalior, negeri Madhya Pradesh, India, awal pagi Ahad.
Agensi berita Press Trust of India (PTI) memetik pegawai hospital sebagai mengesahkan jumlah korban dalam kejadian itu.
Lori yang membawa muatan berat itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penganut yang berkumpul di sebuah kuil di kawasan berkenaan.
Presiden India, Droupadi Murmu, menyifatkan kejadian itu sebagai amat menyedihkan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih,” katanya menerusi media sosial.
India, yang mempunyai kira-kira 1.4 bilion penduduk, merekodkan lebih 183,000 kematian akibat kemalangan jalan raya pada 2025, bersamaan lebih 500 kematian sehari, menurut Kementerian Pengangkutan Jalan.
Data rasmi menunjukkan banyak kemalangan jalan raya di negara itu berpunca daripada infrastruktur jalan raya yang tidak mencukupi, kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik serta pemandu yang keletihan.- AFP











