KUALA LUMPUR: Bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia ke-8, Prof. Emeritus Datuk Dr. Aini Ideris diumumkan sebagai pemenang hadiah utama Anugerah Wanita dalam Teknologi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) 2026 malam tadi.
Sebagai saintis perubatan avian, beliau adalah perintis pembangunan vaksin poltri di Malaysia, dengan lima vaksin utama yang digunakan di lebih 20 negara
Dengan kemenangan itu, Dr. Aini menerima hadiah wang tunai RM30,000 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang serta sumbangan beliau dalam bidang teknologi.
Prof. Dr. Suraya Abdul Rashid yang juga Pengarah Institut Nanosains dan Nanoteknologi UPM pula menerima Anugerah Khas-Bintang Harapan beserta wang tunai berjumlah RM10,000.
Pengumuman tersebut dibuat dalam Majlis Penganugerahan dan Santapan Malam YTF sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-80, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul di sebuah hotel di sini.
Majlis berprestij itu diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pengerusi YTF.
Pengasas Global Psytech, Dr. Haniza Yon pula dianugerahkan Anugerah Khas (Industry Changemaker) dan menerima wang tunai RM10,000 atas sumbangan dan impak signifikan beliau terhadap pembangunan industri.
Bagi Kategori Wanita dalam Teknologi (Junior), Prof. Madya Dr. Serene Lock Sow Mun dan Universiti Teknologi Petronas dinobatkan sebagai Pemenang Hadiah Utama dan menerima wang tunai RM15,000 atas pencapaian luar biasa serta sumbangan beliau dalam memacu kemajuan teknologi.
Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Dr Marlinda Ab Rahman pula menerima Anugerah Bintang Harapan beserta wang tunai RM5,000 manakala Prof. Madya Dr. Afzan Ahmad Zaini dari Universiti Malaysia Sarawak dianugerahkan Anugerah Pengubah Industri serta wang tunai RM5,000 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam memperkasa inovasi dan transformasi industri.
Keenam-enam penerima anugerah ini mencerminkan keunggulan bakat, kepimpinan dan inovasi wanita dalam landskap teknologi Malaysia.
Pada majlis sama, turut diadakan majlis memotong kek sempena ulang tahun Tahun Ke-80, Tuanku Tengku Fauziah. – UTUSAN











