Kenyataan Tony Pua 'dangkal adab' - Asyraf Wajdi

Kenyataan Tony Pua ‘dangkal adab’ – Asyraf Wajdi

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO membidas kenyataan dikeluarkan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang dianggap mempersendakan dan disifatkan ‘dangkal adab’ terhadap institusi Raja.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan terbaharu veteran DAP itu diibaratkan ‘bagai kaduk sudah naik junjung’ kerana mempersendakan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap Institusi Raja. Bila Titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab.

“Tony Pua ni bagai kaduk sudah naik junjung, lupa adab dan batas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Mara itu menegaskan bahawa UMNO kekal bersama Sultan Selangor.

Sebelum ini, Sultan Selangor dalam titahnya menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas EXCO Selangor, Ronnie Liu, supaya mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor bagi menghayati makna sebenar Rukun Negara.

Susulan itu, Tony melalui hantaran di Facebook miliknya menyatakan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa Raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP berkata, negara ini mempunyai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dianggotai wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk membuat undang-undang dan keputusan tersebut.

Tambah beliau, perkara itu selaras sepenuhnya dengan Rukun Negara khususnya prinsip kedua, ketiga dan keempat iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

“Ya, saya setia kepada Raja dan Negara dan akan mematuhi Kedaulatan Undang-Undang mengikut Perlembagaan Persekutuan. Bukan titah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN