SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew supaya datang ke Dataran Selangor dan memahami Rukun Negara.
Baginda bertitah melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara dan menyarankan agar kedua-dua ahli politik dari DAP itu supaya datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk menghayati makna Rukun Negara supaya tahu hormat kepada kedaulatan institusi raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.
“Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, Puan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna rukun negara.
“Beta juga menyeru kepada semua wakil rakyat Selangor supaya datang sendiri ke Dataran Selangor setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada plak monumen itu,” titah baginda dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu baginda berkenan berangkat ke Dataran Selangor bagi melihat Plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan bertentangan dengan Tiang Bendera Negeri Selangor.
Sultan Sharafuddin bertitah, menerusi plak yang dibina dan dipasang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor itu, baginda ingin mengimbas kembali dan mengingatkan sejarah wujudnya Rukun Negara.
Segalanya bermula ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang ditubuhkan sebagai badan pemerintah ketika itu berunding bersama anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di negara ini.
“Beta berharap orang ramai akan berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu, dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia,” ujar baginda.
Malah, Sultan Selangor dalam titahnya menjelaskan, pembinaan dan pemasangan plak dna tempat duduk di kawasan tersebut dibiayai oleh baginda sendiri. – UTUSAN










