KUCHING: Lebih 90 peratus tenaga kerja IKEA Kuching terdiri daripada penduduk tempatan, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat Sarawak menerusi pengoperasian gedung pertama jenama perabot dan kelengkapan rumah Sweden itu di Malaysia Timur.
Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Takeshi Murai berkata, jumlah dalam skala besar itu mencerminkan komitmen IKEA untuk membangunkan bakat serta memberi peluang kepada masyarakat Kuching menyertai jenama peruncitan antarabangsa berkenaan.
“Syarikat memilih untuk mengutamakan pengambilan pekerja tempatan berbanding membawa masuk tenaga kerja dalam jumlah besar dari Semenanjung Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Rasmi IKEA, Kuching di sini hari ini.
Menurut beliau, kurang 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja terdiri daripada pekerja dari Semenanjung Malaysia yang mempunyai pengalaman antara 10 hingga 20 tahun bersama IKEA.
Katanya, kumpulan pekerja berpengalaman itu berperanan melatih, membimbing dan menyokong pekerja baharu yang direkrut di Kuching bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan standard operasi serta perkhidmatan syarikat.
“Kami benar-benar mahu memberikan peluang kepada masyarakat Kuching. Sebab itu, kami memilih untuk mengambil lebih 90 peratus pekerja tempatan,” katanya.
Menurutnya, walaupun pekerja tempatan masih memerlukan masa untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan produk, IKEA komited menyediakan latihan serta sokongan bagi membangunkan kompetensi mereka.
Beliau berharap pelanggan dapat menghargai usaha pekerja tempatan yang sedang membina pengalaman dalam industri peruncitan, selain memberikan ruang kepada mereka untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan.
Takeshi berkata, pengambilan lebih 90 peratus pekerja tempatan itu merupakan pendekatan yang agak luar biasa berbanding strategi pengambilan pekerja IKEA sebelum ini, namun syarikat melihatnya sebagai peluang untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat setempat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pemilihan Kuching sebagai lokasi gedung pertama IKEA di Malaysia Timur turut mengambil kira potensi pasaran serta keupayaan menguruskan logistik bagi membolehkan syarikat mengekalkan harga produk, perkhidmatan dan makanan pada kadar sama seperti di Semenanjung Malaysia.
Katanya, IKEA mahu membina kehadiran jangka panjang di Sarawak dan berkembang bersama masyarakat tempatan, bukan sekadar mengejar keuntungan dalam tempoh singkat.
“Kami mahu berada di Kuching untuk bertahun-tahun akan datang, bukannya datang selama dua tahun, mengaut keuntungan dan kemudian meninggalkan tempat ini. Kami mahu berkembang bersama masyarakat di Kuching dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN










