Hampir menyesal seumur hidup akibat kemurungan- Mia Ahmad - Utusan Malaysia

Hampir menyesal seumur hidup akibat kemurungan- Mia Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Mia Ahmad mendedahkan bahawa dia pernah mengalami kemurungan selepas bersalin yang sangat teruk pada awal tahun, tahun ini.

Mia atau Samihah Ahmad Baderi, 38 berkata, kemurungan yang dialaminya itu menyebabkan dirinya dibelenggu perasaan kecewa, kesunyian dan terbeban dengan pelbagai perkara.

Kata Mia, keadaan itu turut hampir memaksanya untuk membuat keputusan besar yang boleh dikesali sepanjang hidupnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada awal tahun ini, saya mengalami kemurungan selepas bersalin yang sangat teruk sehingga menjadi seorang yang mudah rasa tidak puas hati. Saya menyakiti dan tersakiti. Ada keputusan besar yang saya hampir buat yang boleh menyebabkan saya menyesal seumur hidup. Saya rasa terbeban dengan banyak perkara, rasa tersekat dan rasa susah bergerak,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.

Ujar pelakon Hati Perempuan itu, meskipun sudah melakukan pelbagai perkara untuk memperbaiki diri, dia tetap berasa sukar untuk keluar daripada keadaan tersebut.

“Sampailah satu hari, saya sedar bahawa diri ini sudah terlalu jauh daripada fitrah manusia yang sebenar. Ketika itu, saya rasa tiada sesiapa yang boleh tolong saya. Rasa keseorangan yang teramat sangat. Jangan kata saya jauh daripada Allah. Saya dah buat semua benda waktu itu. Tambah, saya suka belajar dan perbaiki diri,” katanya.

Pun begitu, Mia berkata, pengalaman berkenaan membuatkannya memahami bahawa dia tidak sepatutnya terus menghukum diri sendiri atas kesilapan yang pernah dilakukan.

“Rupa-rupanya, Allah mahu memberikan saya kefahaman supaya tidak terus menghukum diri sendiri apabila melakukan kesilapan. Sejak dari itu, saya tidak lagi membiarkan diri terlalu lama dibelenggu kesalahan itu lama-lama.

“Saya jadi orang yang cepat maafkan diri belajar untuk cepat sedar dan memaafkan diri sendiri. Saya akan minta Allah bimbing dan pilihkan semua keputusan untuk saya.

“Sekarang rutin saya berubah, cara saya melihat kehidupan pun sudah berubah dan saya menjadi lebih selamat dengan diri sendiri. Saya dapat membuat keputusan dengan lebih jelas dan tahu bila perlu berhenti apabila mula berasa terbeban,” katanya.

Mia turut bersyukur kerana pengalaman itu membantunya memahami pelbagai masalah yang dihadapi wanita lain, khususnya golongan ibu dan isteri.

Katanya, keadaan dirinya kini semakin baik apabila dapat kembali berhubung dengan orang lain selepas sebelum ini banyak menghabiskan masa di rumah.

“Saya rasa lebih bertenaga sekarang kerana dapat kembali berhubung dengan orang lain. Memandangkan keadaan saya semakin pulih, saya juga sudah boleh menikmati kehidupan semula dan hubungan dengan suami, anak-anak serta keluarga semakin baik,” katanya.

Dalam pada itu, Mia berharap perkongsiannya dapat memberi semangat kepada mereka yang sedang melalui perkara yang sama agar tidak berasa keseorangan.

“Cuma mahu bagitahu kalau awak semua sedang melalui rasa susah sekarang, ketahuilah bahawa ada orang lain yang pernah melalui perkara sama. Semua ini akan berlalu, InsyaAllah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini