PETALING JAYA: Muncul dengan buah tangan baharu berjudul Senjata, penyanyi, Yuna mengakui bakal mempertimbangkan untuk mempertaruhkan karya tersebut bertanding di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik (AIM).
Menurut Yuna atau Yunalis Mat Zara’ai, karya terbaharunya itu dihasilkan sepenuhnya di Malaysia, malah wajar dipertandingkan di pentas gah selepas sekian lama tidak muncul dengan lagu bahasa Melayu.
“Insya-Allah, ini adalah album sepenuhnya buatan Malaysia, saya rasa wajar kita bertanding di AJL termasuk di pentas AIM.
“Bahagian yang paling menyeronokkan tentang AJL adalah diberikan sebuah pentas dan kebebasan kreatif untuk melakukan apa sahaja di serta cara kita mempersembahkan lagu tersebut.
“Jadi, saya sudah beritahu pasukan saya, kalau masuk AJL, saya mahu ada kapal lanun di atas pentas,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran album Senjata, semalam.
Yuna bagaimanapun mengakui penyertaan dalam sesebuah pertandingan berskala besar memerlukan pertimbangan teliti memandangkan dia kini bergerak secara sendiri.
“Sebenarnya bergantung pada peluang sebab semua benda ini memakan masa dan bajet. Saya pun bergerak sendiri. Kalau ada sokongan dan peluang, kenapa tidak sebab saya pun buat lagu ini bukan seorang.
“Saya buat dengan pasukan saya dan mereka mahu tengok saya masuk AJL. Saya pun okey dan menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan. Saya lakukan untuk peminat juga, saya terhutang budi dengan mereka,” jelasnya.
Dalam masa sama, Yuna memaklumkan dia sangat teruja untuk mengangkat lagu berjudul Senjata itu ke pentas besar memandangkan single tersebut cukup bermakna buat dirinya.
“Saya rasa lagu Senjata, buat masa sekarang apa yang paling kuat dalam hati saya dan benar-bnar saya mahu kongsikan kreativiti saya menerusi lagu Senjata.
“Saya rasa lagu itu pun ramai orang akan suka daripada pelbagai generasi. Daripada mak cik- mak cik sampailah generasi muda. Mereka akan menghargai Senjata,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Yuna kini tampil mempertaruhkan album baharu berjudul Senjata yang memuatkan tujuh buat lagu selepas empat tahun.
Antara naskhah yang dimuatkan adalah Senjata, Lena, Tinggi Rendah Langit, Intuisi, Rockstar, Siren dan karya bahasa Inggeris, Turn Back Time.
Album yang diterbitkan Yuna Room Records tersebut mencerminkan hala tuju Yuna dengan beberapa kolaborasi penerbit dan penulis lagu tempatan seperti Anas Amdan, Aizat Amdan dan Raja Nazrin Shah (SOG).











