LONDON: Tindakan Manchester United memecat Michael Carrick tidak akan menyelesaikan kemelut berpanjangan kelab itu selagi pemiliknya gagal menangani kelemahan pengurusan yang terus menjejaskan prestasi pasukan.
Persatuan Penyokong Manchester United (MUST) menegaskan, pertukaran pengendali bukan jalan penyelesaian kepada masalah sebenar yang membelenggu kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Menurut MUST, pemilik United perlu memberi ruang kepada barisan pengurusan tertinggi untuk melakukan perubahan, selain memulihkan keyakinan penyokong yang semakin terhakis.
“Pemilik perlu membenarkan pengurusan tertinggi kelab mengubah haluan, menunjukkan kebertanggungjawaban, membina semula kepercayaan dan mendengar suara penyokong.
“Satu lagi pertukaran ketua jurulatih tidak mampu memperbaiki kerosakan yang terus berpunca daripada pemilik kelab,” menurut kenyataan MUST yang dipetik Reuters.
Carrick dipecat semalam selepas United hanya mencatat satu kemenangan daripada 10 perlawanan liga musim ini, sekali gus menyaksikan pasukan itu terperosok ke tangga ke-18 dengan lapan mata.
Bekas pemain tengah England itu pada awalnya dilantik sebagai pengendali sementara selepas pemecatan Ruben Amorim pada Januari lalu, sebelum diberikan kontrak sehingga 2028 susulan peningkatan prestasi pasukan.
Bagaimanapun, kegagalan mengekalkan momentum positif musim lalu menyebabkan pengurusan United mengambil keputusan menamatkan khidmatnya.
Carrick menjadi pengendali tetap ketujuh yang dipecat sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013, selain jurulatih ketiga kehilangan jawatan sejak Jim Ratcliffe menyertai pemilikan kelab pada 2024.
Sementara itu, media Britain melaporkan pengendali skuad kebangsaan Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino muncul sebagai calon utama menggantikan Carrick, namun pelantikannya belum diumumkan secara rasmi.- AGENSI











