LONDON: Masa depan kapten Manchester United, Bruno Fernandes di Old Trafford terus menjadi tanda tanya selepas pemain tengah Portugal itu dilaporkan menolak tawaran kontrak baharu buat kali kedua daripada kelab berkenaan.
Menurut Sky Sports, Fernandes, 32, menolak tawaran terbaharu United selepas rundingan pertama yang bermula pada musim panas lalu turut gagal mencapai persetujuan.
Kontrak semasa pemain itu bakal berakhir pada penghujung musim ini, namun United masih mempunyai pilihan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya selama setahun lagi.
Sekiranya United tidak menggunakan pilihan untuk melanjutkan kontraknya, Fernandes boleh memulakan rundingan dengan kelab luar England pada Januari depan untuk menyertai mereka secara percuma selepas kontraknya tamat.
Bagaimanapun, United dilaporkan masih berhasrat mengekalkan khidmat kapten mereka itu dan rundingan antara kedua-dua pihak dijangka diteruskan bagi mencapai persetujuan.
Fernandes sebelum ini turut menarik minat kelab Arab Saudi, Al Hilal yang cuba mendapatkan khidmatnya pada musim lalu.
Pemain tengah berkenaan kekal menjadi antara tonggak utama United selepas dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional England (PFA) pada Ogos lalu.
Pengiktirafan itu hadir selepas Fernandes mencipta rekod Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menghasilkan 21 bantuan gol sepanjang musim lalu.
Perkembangan mengenai masa depan Fernandes hadir ketika United sedang melalui perubahan besar dalam barisan kejurulatihan susulan pemecatan Michael Carrick semalam.
Kelab itu dilaporkan sudah mencapai persetujuan dengan pengendali skuad kebangsaan Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino untuk mengambil alih tugas sebagai jurulatih baharu.
Menariknya, Fernandes sebelum ini pernah mendedahkan bahawa beliau hampir menyertai Tottenham Hotspur ketika Pochettino mengendalikan kelab London itu pada 2019.
Bagaimanapun, perpindahan tersebut tidak menjadi kenyataan selepas Sporting Lisbon menghalang Fernandes daripada meninggalkan kelab berkenaan.
United kini berdepan cabaran untuk memastikan masa depan kapten mereka itu dapat diselesaikan ketika pasukan sedang bergelut dengan prestasi buruk dalam saingan EPL musim ini. – AGENSI











