HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan dua lagi mangsa tragedi kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu diteruskan hari ini dengan tumpuan pencarian di sektor B dan C.
Pasukan SAR mempergiat usaha pencarian menggunakan pelbagai aset dan kepakaran termasuk Unit STORM Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta pasukan MGP.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pasukan terbabit melaksanakan pencarian secara terperinci di kawasan titik panas (hot spot) menggunakan teknik sweep and sniff bagi mengesan kemungkinan lokasi mangsa di sektor B.
Katanya, pencarian di sektor C melibatkan dua ekor anjing pengesan daripada Unit K9 JBPM bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM.
“Operasi di sektor berkenaan tertumpu di kawasan jeram terakhir (last rapid) dan timbunan kayu-kayan yang dibawa arus, menggunakan kaedah sniff and dive.
“Selain itu, dua unit dron daripada PGU Operasi turut digerakkan bagi melaksanakan pencarian di permukaan air di sektor D,” katanta dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, operasi turut diperkukuh dengan penambahan anggota penyelam daripada PPDA JBPM Negeri Selangor bagi memperincikan pencarian di sektor C.
“Penggunaan dua ekor anjing pengesan K9 juga diteruskan bagi membantu pasukan SAR mengesan petunjuk keberadaan dua mangsa yang masih belum ditemukan,” jelasnya. – UTUSAN










