RIYADH: Saluran paip minyak Timur-Barat (East-West) Arab Saudi menjadi sasaran serangan di wilayah Madinah di bahagian barat negara itu pada Isnin, sehingga mencetuskan kebakaran yang berjaya dipadamkan tanpa menjejaskan operasi, menurut Kementerian Tenaga negara itu.
Seorang pegawai kementerian yang dipetik Agensi Berita Saudi (SPA) berkata, insiden itu menyebabkan kebakaran kecil yang berjaya dikawal oleh pasukan kecemasan.
Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan, manakala operasi saluran paip berkenaan diteruskan seperti biasa tanpa sebarang gangguan, katanya.
Pasukan tindak balas kecemasan dan anggota teknikal khusus segera dihantar ke lokasi kejadian bagi mengambil langkah keselamatan untuk melindungi kemudahan berkenaan.
Bagaimanapun, pegawai itu tidak mendedahkan pihak yang bertanggungjawab atau memberikan maklumat lanjut mengenai bentuk serangan berkenaan.
Saluran paip Timur-Barat merupakan laluan penting bagi eksport minyak Arab Saudi kerana membolehkan penghantaran minyak dilakukan tanpa melalui Selat Hormuz yang kini disekat susulan konflik berterusan membabitkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.
Insiden itu berlaku ketika ketegangan ketenteraan terus memuncak antara pakatan pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran.
Houthi berulang kali menyasarkan infrastruktur minyak dan kemudahan lain di Arab Saudi menggunakan dron serta peluru berpandu, namun setakat ini belum ada pihak dikenal pasti bertanggungjawab terhadap insiden pada Isnin itu.











