KANGAR: Pesawah di negara ini bukan sekadar memerlukan bantuan sebaliknya berharap pelaksanaan transformasi menyeluruh industri padi yang membolehkan mereka terus menanam dengan pendapatan munasabah dan lebih terjamin.
Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, perkara pertama atau paling penting yang diharapkan mereka dalam Belanjawan 2027 adalah harga belian padi perlu selari dengan kos sebenar di bendang.
Katanya, harga belian padi telah dinaikkan kepada RM1,500 per tan namun persoalan lebih besar adakah sama ada harga tersebut benar-benar mencerminkan peningkatan kos diesel, baja, racun, benih, pembajakan, penuaian, pengangkutan dan kos operasi lain.
Beliau berkata, kerajaan perlu membuat semakan berdasarkan kos pengeluaran sebenar di lapangan bukan semata-mata berdasarkan formula di atas kertas dan seterusnya menetapkan harga belian padi yang setimpal.
Katanya, selain itu, subsidi input pertanian merangkumi baja, racun, benih dan lain-lain perlu sampai kepada pesawah tepat pada masanya.
“Seperti sebelum ini, baja yang sampai selepas padi melepasi peringkat kritikal tidak lagi memberi manfaat yang sama. Begitu juga benih, racun dan input pertanian yang sepatutnya tersedia sebelum musim bermula.
“Belanjawan 2027 perlu mewujudkan sistem yang lebih telus untuk memastikan pesawah boleh menyemak apa yang diperuntukkan, bila dihantar, siapa menerima dan berapa masih berbaki.
“Bantuan bukan sekadar perlu ada sebaliknya mesti sampai ketika pesawah memerlukannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Katanya, para pesawah turut mengharapkan penambahbaikan dalam sistem saliran, kos jentera pertanian, perlindungan untuk pesawah, peningkatan hasil, sistem timbang dan pemotongan pemutuan padi yang telus serta memperkasa teknologi di bendang.
“Pesawah tidak meminta kerajaan menyelesaikan semua masalah mereka setiap kali belanjawan tetapi untuk Belanjawan 2027 kami benar-benar berharap ia selari dengan realiti di bendang.
“Pesawah mahu air yang cukup, input pertanian sampai pada waktunya, kos terkawal, harga yang munasabah, timbangan yang telus dan teknologi yang boleh digunakan.
“Kami mahu melihat, setiap ringgit diperuntukan oleh kerajaan itu akhirnya dapat memberi kesan pada kehidupan pesawah.
“Apa yang lebih penting, keberkesanan setiap peruntukan oleh kerajaan iaitu kesannya selepas itu berapakah kos pesawah berjaya dikurangkan, berapa hasil sehektar berjaya ditingkatkan, berapa banyak pendapatan bersih pesawah ditingkatkan dan berapa banyak beras tempatan berjaya dihasilkan,” katanya.-UTUSAN.











