Prosedur ketat Wisma Putra cetuskan rasa kurang senang waris mangsa banjir di Nepal - Utusan Malaysia

Prosedur ketat Wisma Putra cetuskan rasa kurang senang waris mangsa banjir di Nepal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suasana sedikit beremosi menyelubungi perkarangan Wisma Putra hari ini, apabila sebahagian ahli keluarga dan waris kepada mangsa yang hilang di Nepal akibat bencana banjir terpaksa menanti di luar.

Ini berikutan penetapan prosedur kemasukan yang ketat oleh pihak penganjur.

​Memasuki hari ke-33 operasi pencarian di kawasan pergunungan Nepal-Tibet, sesi taklimat secara fizikal dan tertutup yang dianjurkan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) bersama pelbagai agensi kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antaranya Pasukan Mencari dan Menyelamat Khusus Malaysia (SMART), Jabatan Kimia Malaysia, serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dilihat amat penting buat keluarga mangsa untuk mendapatkan perkembangan sahih.

​Prosedur ketat termasuk hanya membenarkan dua orang wakil sahaja bagi setiap keluarga telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan waris yang hadir dari jauh.

Salah seorang waris yang ditemui di luar perkarangan Wisma Putra, M Subramaniam, 38, meluahkan rasa bimbang dengan keadaan waris terdekat yang masuk untuk menyertai sesi taklimat berkenaan.

Subramaniam, menantu kepada salah seorang mangsa, V Krishnan Vadivelu, 74, menjelaskan, anak lelaki dan anak perempuan mangsa masih trauma dengan tragedi terbabit.

​Beliau menegaskan, kriteria kemasukan sepatutnya diberi kelonggaran berasaskan keupayaan wakil untuk mengawal emosi dan memahami bahasa birokrasi dan terma teknikal agensi kerajaan.

“Bukannya sekadar tertumpu kepada ahli keluarga terdekat atau mereka yang hadir untuk urusan penyerahan sampel DNA semata-mata.

​”Kami faham ini babit isu emosi, tetapi orang yang masuk itu perlulah individu yang boleh berinteraksi secara berkesan dengan pihak kerajaan dan faham terma yang disampaikan.

“Ada keluarga yang membawa orang tua sebagai wakil, sedangkan mereka sukar untuk bertukar maklumat atau mengendali situasi beremosi sedemikian,” katanya

Beliau menggesa pihak Wisma Putra mempertimbangkan kelonggaran kriteria pemilihan wakil pada sesi perjumpaan akan datang supaya maklumat mengenai operasi pencarian dapat difahami dan disampaikan semula kepada keluarga lain dengan lebih jelas.

Bukan sahaja isu had bilangan wakil, malahan kekangan mengenai giliran dan pertukaran nama wakil pada saat akhir turut menyukarkan pergerakan waris.

​Seorang lagi waris, S Punitha dari Klang, yang mewakili keluarga Suguna Balan, turut meluahkan saluran dan platform digunakan ada kalanya sukar difahami bagi waris lebih berusia.

“Saya berharap agar Wisma Putra lebih memahami keadaan waris. Saluran maklumat menerusi borang digital (Google Form) dan mesej aplikasi WhatsApp ada kalanya kurang mesra pengguna, terutamanya bagi golongan warga emas dan mereka yang kurang berkemahiran teknikal, ” katanya.

Waris juga memohon saluran komunikasi antara Wisma Putra dan pihak keluarga diperkemaskan, selain lebih bertimbang rasa daripada segi emosi dan kebolehan interaksi membabitkan waris pada pertemuan akan datang.

Banjir dan aliran puing pada 26 Ogos lalu yang dicetuskan oleh runtuhan ais dan batu di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet dilaporkan mengorbankan lebih 1,450 orang, manakala ribuan lagi masih belum dapat dikesan.

Setakat ini, nasib 55 rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan banjir terbabit kekal menjadi tanda tanya.

Wisma Putra dilapor berkata, angka itu diperoleh berdasarkan maklumat terbaharu daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain yang berkaitan.​

Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) turut berlepas ke Nepal menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menyertai misi kemanusiaan di kawasan bencana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×