PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas akan membawa suara rakyat Malaysia bagi menzahirkan solidariti negara ini terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan biadab Israel dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam Doha, Qatar nanti.
Perdana Menteri berkata, serangan terhadap Qatar ini jelas membuktikan bahawa kezaliman Zionis tidak terbatas.
Tambah beliau, serangan berkenaan bukan sahaja menindas rakyat Palestin sejak puluhan tahun, malah kini mengancam kedaulatan negara-negara Arab dan Islam seluruhnya
“Jika Qatar boleh diserang, maka tiada negara yang benar-benar selamat daripada ancaman mereka.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim ini. Kita berdiri teguh bersama Qatar dan Palestin serta seluruh dunia yang cintakan keamanan serta keadilan.
“Inilah saatnya untuk dunia Arab-Islam, dan masyarakat antarabangsa bangkit bersatu mempertahankan maruah, menghentikan keganasan, dan menjamin keselamatan sejagat,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Terdahulu, Anwar berlepas ke Doha, Qatar malam ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang dijadual berlangsung esok
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, pada pukul 7 malam.
Anwar menghadiri sidang kemuncak tergempar itu atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani susulan perkembangan terkini membabitkan serangan Israel terhadap negara itu.
Delegasi Anwar disertai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan pegawai-pegawai kanan ksmenterian. – UTUSAN










