Hala tuju saman Dr. Mahathir, Anwar dimaklumkan pada 4 Disember

Hala tuju saman Dr. Mahathir, Anwar dimaklumkan pada 4 Disember

Saman Mahathir Anwar
DR. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Hala tuju kes saman RM150 juta Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi, di sini pada 4 Disember depan.

Peguam yang mewakili Dr. Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pemakluman itu akan dibuat pada prosiding pengurusan kes berikutan keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu.

Menurutnya, kebimbangan terhadap kesediaan, tahap kecergasan, keselesaan dan stamina Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh itu juga disuarakan selepas melihat usia serta tahap kesihatan beliau.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita semua sedia maklum mengenai keadaan Dr Mahathir. Saya memohon kepada mahkamah untuk memberikan beliau masa dan ruang bagi menentukan langkah seterusnya.

“Kami akan kembali ke mahkamah pada 4 Disember untuk pengurusan kes bagi memaklumkan mahkamah mengenai langkah beliau yang seterusnya,” katanya.

Tambah Muhammad Rafique, pihaknya turut memohon kepada mahkamah supaya prosiding dibenarkan dijalankan secara dalam talian dengan skop pemeriksaan balas yang terhad.

Pengurusan kes itu akan dijalankan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Donald Joseph Franklin.

Perbicaraan saman itu ditangguhkan pada Januari lalu selepas Dr Mahathir terjatuh.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi berusia 101 tahun itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 6 Januari lalu untuk pemantauan dan rawatan.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan kes saman RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu dalam Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Perlaksanaan Sebuah Idealisme’, diteruskan pada 13 Januari lalu.

Dalam dokumen yang difailkan pada 3 Mei 2023, Dr Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan berkenaan.

Dr Mahathir sebagai plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Law Practice of Rafique di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Anwar selaku defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa Anwar telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya.

Menurut beliau, ia termasuk kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.

Sedangkan katanya, kenyataan berkenaan tidak benar dan menjatuhkan imejnya sebagai seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam penyataan pembelaan pada 14 Jun tahun sama mendakwa saman Dr. Mahathir sebagai melemahkan kredibilitinya selaku Perdana Menteri selain mewujudkan perpecahan kaum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Anwar berkata, berdasarkan Sijil Perakuan Segera yang difailkan plaintif, ia menyatakan tindakan saman mesti dilupuskan dengan segera kerana (ketika itu) enam negeri akan membubarkan sidang DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini