Selangor rekod hasil negeri RM2.8 bilion capai sasaran 2026

Selangor rekod hasil negeri RM2.8 bilion capai sasaran 2026

Hasil Selangor
AMIRUDIN Shari mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan dan Penyediaan Belanjawan Selangor 2027 di Shah Alam, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor merekodkan hasil negeri yang sudah pun melepasi sasaran pada tahun ini apabila sebanyak RM2.8 bilion diperoleh melalui pelbagai sumber ekonomi sehingga minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri sedang meneliti potensi sumber hasil baharu terutama dalam Belanjawan Selangor 2027 yang akan dibentangkan pada 13 November depan.

“Insya-Allah, Belanjawan Selangor 2027 akan terus memberi tumpuan kepada perkara yang dekat dengan kehidupan rakyat, daripada peluang ekonomi dan pekerjaan hinggalah kepada pengangkutan awam serta kesejahteraan hidup seharian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Belanjawan kali ini cukup istimewa kerana menjadi belanjawan pertama dalam pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2),” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan dan Penyediaan Belanjawan Selangor 2027 di sini, hari ini.

Tambahnya, kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan juga terus diberi perhatian khususnya dalam pembangunan industri semikonduktor dan pelaksanaan projek tebatan banjir yang penting untuk pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

“Harapan saya agar kemajuan Selangor dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat,” ujarnya.

Jun lalu, Selangor dilapor mencapai hasil negeri mencecah RM1.7 bilion iaitu melepasi 50 peratus sasaran RM2.8 bilion bagi tahun ini.

Amirudin Shari ketika itu berkata, kedudukan itu menunjukkan negeri ini berada pada laluan yang betul untuk mencapai sasaran berkenaan pada akhir tahun ini.

Tahun lalu, Selangor memperoleh kutipan hasil mencecah RM3 bilion menjelang akhir Disember, sekali gus menjadikan perolehan tersebut sebagai tertinggi dalam sejarahnya.

Dalam pada itu, Amirudin turut menyeru rakyat negeri ini supaya berkongsikan cadangan dan pandangan yang boleh dimasukkan dalam belanjawan nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini