SABAK BERNAM: Pengetahuan dan kemahiran terhadap penguasaan teknologi kuantum menjadi ukuran baharu dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menyiapkan generasi muda pada hari ini.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memastikan kemahiran berteraskan teknologi yang bakal membentuk masa depan itu dapat dikuasai dan diadaptasi seperti mana penguasaan terhadap kecerdasan buatan (AI) ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, institusi TVET di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu bersedia dan memastikan pengajar mendapat pendedahan awal.
“Tetapi kita mesti berfkir menjangkauinya, ke hadapan. Kurikulum (TVET) mesti sentiasa diperbaharui dan kerjasama industri perlu membuka askes kepada teknologi baharu.
“Kita mesti melatih anak-anak untuk keperluan hari ini, sambil menyediakan mereka bagi peluang hari esok. Kita kena pastikan generasi muda bersedia dengan gelombang teknologi baharu. Itulah ukuran kecemerlangan yang mahu kita bina,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo TVET@KKDW di sini, hari ini.
Justeru, untuk tujuan tersebut beliau menggariskan tiga inisiatif strategik TVET di bawah kementeriannya bagi membawa hala tuju tersebut secara berfasa termasuk Perjanjian Kerjaya Premium, TVET Jana Desa dan Bengkel Pintar dan Hijau.
“Bagi program terpilih, kompetensi, syarat penempatan dan pakej gaji perlu dipersetujui bersama majikan sebelum mengambil pelatih. Kita (juga) mahu graduan membina perusahaan teknikal dan membuka pekerjaan di daerah sendiri.
“Bengkel institusi (pula) perlu menjadi tempat pelatih, pengajar dan industri membangun penyelesaian bersama. (Ia) Mesti membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos,” jelasnya.
Terdahulu, penganjuran ekspo kali ke lapan itu mengenengahkan kekuatan lapan agensi di bawah kementerian berkenaan yang turut melibatkan 281 institusi yang menawarkan program latihan TVET.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan negara sedang berusaha meningkatkan jumlah pusat pendidikan yang menawarkan latihan apabila sebanyak 1,996 institusi merangkumi awam dan swasta.
“Institusi TVET terutamanya pihak swasta begitu rancak mengembangkan sayapnya dengan menubuhkan institusi dalam sektor itu di seluruh negara yang akhirnya daripada 1,398 meningkat kepada 1,996 institusi.
“Kita belajar daripada pengalaman terbaik di peringkat dunia dan kita berazam untuk membina kekuatan kita sendiri, sebab itu saya sendiri sentiasa meletakkan TVET sebagai keutamaan agar anak-anak Malaysia mendapat akses kepada latihan berkualiti, menguasai teknologi baharu,” ujarnya.
Katanya lagi, ia termasuklah penubuhan Malaysia-China Institute (MCI) dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan Samsung SDI Energy Malaysia di Bagan Datuk. – UTUSAN











