GP Australia dibatalkan akibat cuaca buruk

GP Australia dibatalkan akibat cuaca buruk

PERLUMBAAN yang dijadualkan bermula pukul 2 petang waktu tempatan ditunda ke 4.30 petang bagi memberi peluang keadaan cuaca bertambah baik, namun akhirnya dibatalkan 25 minit sebelum pitlane dibuka.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHILLIP ISLAND: Cuaca buruk memaksa perlumbaan Grand Prix (GP) Australia MotoGP dibatalkan selepas beberapa kali ditangguhkan di Litar Phillip Island, hari ini.

Perlumbaan yang dijadualkan bermula pukul 2 petang waktu tempatan ditunda ke 4.30 petang bagi memberi peluang keadaan cuaca bertambah baik, namun akhirnya dibatalkan 25 minit sebelum pitlane dibuka.

Hujan lebat yang mengehadkan jarak penglihatan menyebabkan helikopter perubatan tidak dapat beroperasi, sekali gus menghalang perlumbaan diteruskan atas faktor keselamatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut peraturan kejuaraan, helikopter perubatan wajib bersedia untuk membawa pelumba ke hospital melalui udara sekiranya berlaku kecemasan.

“Perlumbaan MotoGP GP Australia dibatalkan berikutan jarak penglihatan terhad yang menjejaskan operasi helikopter perubatan,” kata MotoGP dalam satu kenyataan.

Sebagai ganti, pelumba dijadual melakukan satu pusingan perpisahan di belakang kereta keselamatan sebelum berhenti di laluan utama untuk menyapa peminat.

Pembatalan itu turut memberi kelegaan kepada pelumba Aprilia, Jorge Martin, yang tidak cergas selepas mengalami patah tulang lengan akibat kemalangan pada Sabtu.

Martin berdepan risiko kehilangan lebih banyak mata dalam perebutan kejuaraan dunia sekiranya perlumbaan diteruskan, namun pembatalan itu menyaksikan tiada mata baharu dipertaruhkan di Phillip Island.

Pelumba Ducati, Marc Marquez, meninggalkan Australia sebagai pendahulu baharu kejuaraan dunia dengan kelebihan 10 mata ke atas Martin, manakala Marco Bezzecchi daripada Aprilia ketinggalan 50 mata.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini