PETALING JAYA: Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman membekukan aset bernilai RM4.3 bilion dari 2022 hingga akhir September 2026 melibatkan kes jenayah mafia korporat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam tempoh sama, sebanyak RM1 bilion aset turut disita, manakala RM48.3 juta dilucut hak.
“Selain itu, kompaun berjumlah RM1.1 bilion turut dikenakan kepada pihak yang terlibat.
“Usaha menangani jenayah kewangan dan salah laku korporat memerlukan komitmen yang jelas serta ketegasan semua pihak, khususnya agensi penguatkuasa yang diberikan amanah untuk melaksanakan tindakan mengikut undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang meminta beliau menyatakan perkembangan berhubung dakwaan kegiatan mafia korporat di negara ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, isu tatakelola korporat dan ketelusan pemilikan syarikat besar yang berlarutan sejak era 1980-an perlu ditangani secara menyeluruh bagi memastikan tiada pihak menggunakan pengaruh atau kekuatan kewangan untuk mengatasi undang-undang.
Beliau memberikan contoh beberapa kes membabitkan syarikat besar termasuk Multi-Purpose Holdings Berhad (MPHB), RHB Bank dan Phileo Bank, yang menurutnya menimbulkan pelbagai persoalan berhubung pemilikan, pengaruh serta tindakan yang diambil ketika itu.
“Kalau kita lihat perkembangan sejak 1980-an dan 1990-an hingga sekarang, kita tahu bagaimana syarikat besar seperti MPHB, yang merupakan sebuah gergasi ketika itu, bertukar pemilikan dalam keadaan yang menimbulkan pelbagai persoalan.
“Perkara itu dikaitkan dengan pengaruh dan kekuatan kewangan pihak tertentu, termasuk dakwaan penglibatan bekas Menteri Kewangan ketika itu. Sebab itu, perkara seperti ini jarang dikaitkan dengan Yang Berhormat,” katanya.
Anwar turut membangkitkan isu berkaitan RHB Bank yang menurutnya terpaksa melepaskan pegangan, selain persoalan mengenai pihak yang mempunyai kaitan dengan bekas Menteri Kewangan.
Beliau juga menyentuh perkembangan Phileo Bank yang berkembang pesat sebelum berdepan langkah penyatuan industri perbankan susulan arahan kerajaan ketika itu.
Menurut beliau, pengalaman lalu seharusnya menjadi pengajaran mengenai pentingnya ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan serta pemilikan aset korporat.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), perlu menjalankan tanggungjawab secara telus serta bertanggungjawab. – UTUSAN











